SPRM gesa masjid tingkatkan sistem perakaunan

SPRM gesa masjid tingkatkan sistem perakaunan

Masjid-masjid di negeri ini perlu mempunyai sistem perakaunan yang lebih baik bagi meningkatkan mutu pengurusan dan pentadbiran di rumah ibadat tersebut, lapor Sinar Harian.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, sistem perakaunan yang baik dan lebih teratur juga dapat memudahkan lagi pengurusan penerimaan dan penggunaan kutipan masjid sekali gus melicinkan pengurusan kewangan masjid-masjid di negeri ini.

“Kami melihat Jabatan Mufti tiada masalah cuma dari segi pentadbiran agama ada sedikit perhatian perlu diberikan kepada masjid-masjid yang berkisar kepada kutipan tertentu yang tidak mengikuti perakaunan yang baik.

“Tiada banyak masalah pun. Cuma kadang-kadang penerimaan dan penggunaan wang itu tidak jelas. Mungkin boleh buat satu akaun yang mudah untuk rekod kemasukan dan pengeluaran wang, kalau itu boleh laksana dengan baik, tiada apa-apa masalah pengurusan di masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 Jabatan Mufti negeri Perak dan Ikrar Bebas Rasuah oleh Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad secara maya hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Fauzi turut memuji kepimpinan Jabatan Mufti negeri Perak yang menyokong SPRM secara berterusan dalam menangani jenayah rasuah habis-habisan sekali gus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membangunkan pelan antirasuah sebagai langkah kawalan dalaman bertujuan mencegah salah laku rasuah.

“OACP merupakan satu daripada usaha dalam menangani pelanggaran rasuah dan integriti serta mengukuhkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan jabatan kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, pelan OACP berkenaan dibangunkan bagi menangani permasalahan dan kelemahan pentadbiran, integriti dan antirasuah dalam kalangan warga jabatan itu.