SPRM siasat bekas PM dan menantu berkaitan kontrak kerajaan

SPRM siasat bekas PM dan menantu berkaitan kontrak kerajaan

 

Seorang bekas perdana menteri dan menantunya sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kontrak kerajaan.

Menurut sumber, siasatan tertumpu kepada kemungkinan salah guna kuasa berlaku dalam pemberian kontrak bagi projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

“SPRM sedang melihat proses pemberian kontrak itu diberikan dan kaitan syarikat berkenaan dengan mereka yang berkuasa pada masa itu,” katanya.

Terdapat maklumat yang menyatakan NIISe, sebuah projek yang sedang dibangunkan untuk menggantikan mekanisme pendaftaran pekerja asing sedia ada oleh Jabatan Imigresen menjelang 2025 adalah projek yang bermasalah.

Semakan ke laman web jabatan itu menunjukkan ‘Pasukan Projek Khas NIISe’ dipertanggungjawabkan kepada seorang pegawai tadbir dan diplomatik, Ruslan Atan.

“SPRM mungkin akan memanggil anggota kanan pentadbiran terdahulu sebagai sebahagian daripada siasatannya,” kata sumber itu.

Pada Isnin lalu, New Straits Times melaporkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, NIISe akan diperkenalkan dalam masa dua tahun dengan semua urusan berkaitan imigresen, termasuk yang kini diuruskan pihak luar seperti MyEG, kembali kepada jabatan itu.

Sistem baharu itu kini sedang dibangunkan oleh Iris Corporation Bhd.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi pernah berkata, menantu bekas perdana menteri itu mungkin saudara yang tidak dinamakan seperti disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau bercakap mengenai kroni dan saudara yang dianugerahkan kontrak yang lumayan.

Menantu pemimpin itu juga dinamakan dalam laporan media sebelum ini sebagai antara seorang pemain utama dalam kontrak untuk NIISe.

Beliau juga disebut secara meluas dalam Program Pengampunan 6P jabatan itu beberapa tahun lalu untuk mendaftarkan warga asing tanpa izin.