SPRM tahan reman anak MB Perlis

SPRM tahan reman anak MB Perlis

 

Anak kepada Menteri Besar Perlis antara enam individu yang direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Sumber berkata, turut direman ialah pegawai kanan pejabat Menteri Besar Perlis.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas suspek dibawa ke mahkamah jam 8.45 pagi tadi.

“Suspek yang ditahan berusia antara 27 hingga 37 tahun dan dikehendaki membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik-pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

“Siasatan dipercayai juga menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan.

“Suspek yang ditahan itu dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat, kontraktor dan penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar Perlis,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan antara jam 7 hingga 8 pagi semalam Perlis dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.