SPRM tahan seorang lagi pengarah syarikat berkait isu kartel daging

SPRM tahan seorang lagi pengarah syarikat berkait isu kartel daging

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menahan seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun di Johor Bahru dan suspek direman selama enam hari bermula hari ini.

Dengan ini, seramai lapan suspek ditahan reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu kartel daging sejuk beku yang sedang disiasat sejak 4 Januari lalu.

Di samping itu, seramai 27 saksi juga telah dipanggil dalam siasatan kes ini.

Mereka yang terlibat terdiri daripada pekerja syarikat, ejen pengimport serta pegawai kerajaan.

”SPRM menyiasat kes berkenaan mengikut Akta SPRM 2009 yang menjurus kepada kesalahan menerima rasuah, mengemukakan tuntutan palsu serta kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen,” kata SPRM dalam kenyataan di sini.

Buat masa ini, SPRM masih aktif menjalankan siasatan dengan menganalisis maklumat, pengumpulan bukti-bukti serta akan membuat beberapa lagi tangkapan bagi melengkapkan siasatan. – MG