Starbucks rugi USD12 bilion kerana boikot

Starbucks rugi USD12 bilion kerana boikot

 

Secara keseluruhan, boikot yang dijalankan telah menyebabkan kemerosotan dan kehilangan 9.4% daripada nilai pasaran Starbucks, penurunan hampir USD12 bilion.

Susulan itu pelabur dalam saham Berjaya Food iaitu pemilik francais Starbucks Coffee di Malaysia dinasihatkan menjual saham mereka susulan boikot terhadapnya, menurut nota penyelidikan RHB Bank.

Nota itu turut menyebut ada penurunan saham sebanyak 24%.

Boikot akan berterusan terhadap Starbucks Coffee akan menjadi lebih lama daripada jangkaan awal jika tiada penyelesaian jangka pendek kepada konflik Israel-Hamas.

“Selain itu, pemulihan pasca boikot mungkin tidak mudah dan Berjaya Food mungkin memerlukan banyak usaha untuk mendapatkan semula bahagian pasarannya, memandangkan terdapat persaingan yang sengit,” kata bank itu dalam nota yang dilihat oleh FMT, sambil menambah bahawa harga saham telah turun kepada 46 sen sesaham, daripada 73 sen.

Menurut nota itu, keadaan ini lebih buruk daripada yang dijangkakan, masa boikot ini tidak sesuai, memandangkan akhir tahun biasanya merupakan tempoh puncak bermusim.

RHB berkata ia juga telah meninjau cawangan kedai dan terdapat kejatuhan 30% hingga 40% jumlah pelanggan, biarpun pusat beli-belah kekal sibuk dan tiada trend penurunan sama bagi pesaing Starbucks.

Bank itu juga meramalkan kemerosotan keuntungan bersih Berjaya Food daripada 21% pada 2024 kepada 7% pada 2026.

Semalam, laporan dari New York menyatakan bahawa saham Starbucks Corp mengalami rekod kerugian susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap trend jualan syarikat gergasi kopi itu yang dingin sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Saham terbabit turun 1.6% pada Isnin, merosot untuk sesi ke-11 berturut-turut, sejak saham Starbucks mula didagangkan pada 1992.

Berjaya Food memiliki dan mengendalikan Starbucks, francais patuh syariah di Malaysia. Starbucks ialah salah satu daripada beberapa rangkaian yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), termasuk McDonalds dan Burger King.

Rangkaian itu telah disasarkan untuk diboikot rakyat Malaysia yang berang kerana dianggap mempunyai hubungan dengan atau sokongan Israel dan kempen ketenteraannya di Gaza.