Suami berpangkat Dato dera isteri hingga maut, kini diburu polis

Suami berpangkat Dato dera isteri hingga maut, kini diburu polis

Kisah sorang wanita yang meninggal dunia dipercayai akibat didera suaminya di sebuah pangsapuri di Sungai Long, Kajang pada Ahad lalu mengundang simpati orang ramai.

Menyedihkan, suaminya berpangkat Dato dan  berdarah Pakistan telah melarikan diri selepas menghantar wanita ini ke sebuah hospital swasta selepas membelasah isterinya. Namun sebaik mendapat tahu isterinya meninggal, lelaki dikenali sebagai Mohamed Imran bin Mohamed Yunos telah melarikan diri dan kini dalam buruan pihak berkuasa.

Menurut laporan Harian Metro, mangsa Azween Noor Alias, 38, dibawa ke sebuah hospital swasta dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh suaminya Mohamed Imran Mohamed, 32, sebelum perbuatan lelaki itu terbongkar hasil pemeriksaan pegawai perubatan.

Mangsa tak kongsi hal rumah tangga

Adik mangsa Azmir Alias, 37, berkata, kali terakhir mereka bertemu adalah pada Aidilfitri lalu selain menyifatkan arwah sebagai pendiam.

“Arwah tidak pernah bercerita mengenai rumah tangganya, kami juga jarang bertemu arwah.

“Arwah memang seorang yang pendiam, dia bercakap apabila perlu sahaja, dia tidak pernah bercerita soal rumah tangganya.

“Ada dia beritahu mengenai suaminya yang kerap kerja di luar kawasan,” katanya.

Azmir berkata, keluarga juga tidak lagi bertemu dengan suaminya (suspek) selepas arwah mendirikan rumah tangga enam tahun lalu.

“Suaminya tidak membenarkan arwah ke rumah ibu, kami juga pelik dengan sikap lelaki itu.

“Pernah satu ketika ibu ke rumah arwah namun dihalau lelaki terbabit menyebabkan sehingga kini ibu tidak pergi ke rumah arwah,” ujarnya.

Tambahnya, dia sekeluarga ingin melakukan permohonan bagi menjaga dua orang anak arwah masing-masing berusia enam dan tiga tahun yang kini dijaga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, seorang pengguna laman Facebook, Ummi ImanNurin yang dipercayai kakak mangsa ada memuat naik beberapa hantaran berhubung pemergian Allahyarham Azween Noor.

Al-Fatihah!

Saya selaku anak sulung, dah buat dari awal sampai akhir

Rehat la Angah, azab di dunia sudah berakhir…

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit pada 12.15 tengah malam Ahad lalu.

“Mangsa dihantar oleh suaminya dan selepas mendapat tahu isterinya disahkan sudah meninggal dunia, dia menghilangkan diri.

“Pemeriksaan awal pegawai perubatan terbabit mendapati terdapat kesan cedera dan lebam di seluruh badan mangsa. Mayat mangsa kemudian diserahkan ke Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat,” katanya.

Mohd Zaid berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat dipukul objek tumpul sehingga mengalami kecederaan dalaman serius selain terdapat kesan kecederaan di seluruh badan.

Susulan kejadian itu, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan R K Umesh di talian 012-6114900 atau balai polis berdekatan.

Hebahan netizen untuk jejaki suspek

Jiran Dedah Pasangan Kerap Bergaduh

Perkongsiannya ini ternyata menarik minat kenalan fbnya yang memaklumkan pasangan ini satu tingkat dengan kediamannya dan dipercayai kerap bergaduh hingga dia pernah melaporkan kepada pihak pengurusan kediaman.