Suami mahu berpoligami tidak perlu kebenaran isteri pertama jika daftar nikah di Perlis

Suami mahu berpoligami tidak perlu kebenaran isteri pertama jika daftar nikah di Perlis

Poligami secara ringkasnya bermaksud berkahwin lebih dari seorang dalam satu masa. Isu poligami dilihat menjadi polemik hangat dalam kalangan masyarakat di sini sehingga menjadi perdebatan di media sosial.

Kegusaran timbul apabila sesetangah pihak tidak berlaku adil dan tidak menyampaikan hajat untuk berpoligami kepada isteri pertamanya.

Segelintir individu lebih senang memilih untuk bernikah di luar negara terutamanya selatan Thailand kerana prosesnya yang mudah.

Namun, mereka perlu mendaftarkan perkahwinan di Malaysia setelah selesai prosedur pernikahan di negara itu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Masa inilah resah nak maklumkan sudah bernikah lagi kepada isteri pertama.

362922389 780857067375402 3002073580432366411 N

Bagaimanapun, pihak yang melangsungkan pernikahan di Thailand atas tujuan poligami tidak memerlukan persetujuan isteri pertama jika mendaftar perkahwinan di Perlis.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis Muhammad Azmir Azizan, pemohon hanya perlu hadir di hadapan pendaftar dan mengemukakan dokumen yang sah sebagai bukti perkahwinan.

Katanya, sekiranya pendaftar berpuas hati dan melihat perkahwinan itu sah mengikut syarak, maka ia boleh didaftarkan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) 2006.

“Kebanyakan pasangan memilih nikah di Thailand ini atas faktor seperti merasa proses perkahwinan di Malaysia menyusahkan, berpoligami dan privasi.

“Pendaftaran pernikahan tersebut (poligami) juga adalah mesti bagi mereka (pasangan) yang bermastautin di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan banyak pasangan di Malaysia memilih untuk berkahwin di Thailand terutama mereka yang mahu menyembunyikan perkahwinan daripada isteri pertama atau poligami.

Pendedahan itu dibuat oleh Konsulat Malaysia di Songkhla yang menerima 60 hingga 80 permohonan sehari bagi pengesahan pasangan Malaysia yang bernikah di selatan Thailand dengan jumlah keseluruhan mencecah lebih 2,400 permohonan dalam tempoh sebulan.