Suami Miera Liyana nafi abai isteri pertama, dedah beri nafkah RM15K sehingga RM20K sebulan

Suami Miera Liyana nafi abai isteri pertama, dedah beri nafkah RM15K sehingga RM20K sebulan

Suami kepada pelakon Miera Leyana, Rosland  Othman menafikan dakwaan dirinya mengabaikan nafkah terhadap isteri pertama, Adibah Abdul Mutalib .

Nafi abai isteri pertama, siap bagi nafkah sehingga RM20,000

Rosland menafikan dakwaan tersebut apabila ditanya oleh peguamnya, Nurul Balqis Nordin semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Abdul Fattah Datuk Kamarudin di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.

Sebaliknya, dia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Consolidated Industries Bhd milik syarikat Serba Dinamik itu mendakwa memberi nafkah antara RM15,000 sehingga RM20,000 sebulan.

“Sehingga semalam, pesanan membeli barang dapur saya tunaikan. InsyaAllah semuanya lengkap seperti ansuran rumah, bil elektrik, perbelanjaan persekolahan dan kad kredit juga diberi.
“Tapi dia masih mengeluarkan kenyataan saya tidak bertanggungjawab,”ujarnya.

Ada bukti transaksi

Tambah Rosland, dia mempunyai bukti segala transaksi yang dibuat kepada isteri pertama baik dari segi tunai mahupun perbelanjaan sekolah anak-anak.

“Saya boleh tunjukkan apa bayaran dia dapat, saya ada beri tunai tidak termasuk perbelanjaan sekolah dan kenderaan sekolah anak.
“Tapi masih mengatakan saya tidak bertanggungjawab dan tidak memberikan nafkah kepada anak-anak sedangkan saya masih beri walaupun saya tidak mengeluarkan kenyataan di media, saya suka simpan fakta ini di mahkamah.
“Secara keseluruhan, jumlah saya beri lebih RM15,000 hingga RM20,000,”ujarnya lagi.

Rosland berkata, dia tetap memberi nafkah kepada Adibah meskipun berdepan dengan cabaran keadaan ekonimi meleset dan perniagaan tidak menentu.

Fail nusyuz sebab isteri keluar rumah tanpa kebenaran

Sementara itu, Rosland memberitahu dia memfailkan nusyuz terhadap Adibah selepas wanita berusia 50 tahun itu dikatakan keluar rumah tanpa keizinan pada 24 September 2021.

Dalam prosiding itu, Rosland memberitahu dia pulang awal ke rumah pada jam 6.30 petang hari kejadian untuk membawa anak mereka keluar namun Adibah tiada di rumah.

Ujar Rosland, dia sudah beberapa kali meninggalkan pesanan kepada Adibah supaya tidak keluar rumah sebelum beliau sampai tetapi defendan (isteri pertama) ingkar dan bertindak menyekat nombor Adibah sehingga kini.

Pun begitu, Rosland mengakui dia tidak lagi memberi nafkah batin terhadap isteri pertama atas sebab mereka sudah tidak sefahaman.

“Seperti saya katakan tadi, saya dan defendan sedang melalui kes nusyuz kerana dia tidak lagi mengendahkan kata-kata saya sebagai suami.
“Selagi kes ini tidak selesai, sudah tentu daripada segi nafkah batin tidak dapat saya tunaikan. Saya dengan dia tidak ada persefahaman dan tidak ada persetujuan lagi bagaimana untuk teruskan, adalah agak sukar,” katanya lagi.

Dalam prosiding yang sama, ibu mentua Rosland yang juga ibu kepada aktres Miera Leyan iaitu Aisah Abdullah turut memberi keterangan saksi.

Prosiding kes akan bersambung pada 8,14 dan 22 Jun depan dengan Adibah akan mengemukakan tiga saksi perbicaraan.

Terdahulu, peguam Rosland memohon injunksi iaitu perintah perlindungan kehakiman untuk kes itu tidak dihadiri pihak media. Bagaimanapun, permohonan tersebut ditolak oleh hakim kerana tiada permohonan bertulis diterima setakat ini, malah kes itu juga dibicarakan di mahkamah terbuka.