Suara terkuat pembangkang dalam sejarah tidak harus dipersiakan

Suara terkuat pembangkang dalam sejarah tidak harus dipersiakan

Kenyataan Media Pemuda AMANAH Nasional

1) Suara 108 ahli Parlimen yang dipunyai pembangkang hari ini – walaupun masih gagal menolak Belanjawan 2021 – tetap merupakan suara terkuat pembangkang dalam sejarah demokrasi negara. Kekuatan ini tidak harus dipersiakan, bahkan perlu diurus dengan baik melalui meja rundingan dalam menuju PRU-15.

2) Pembangkang hari ini perlu sedar bahawa mereka akan kekal kuat dan berpotensi memenangi semula hati rakyat apabila mereka bersatu-padu dan bekerjasama. Dengan seluruh kecelaruan dasar kerajaan Perikatan Nasional yang hanya fokus memberikan laba politik kepada ahli-ahli Parlimen mereka dalam mengekalkan sokongan yang tipis, pembangkang perlu lebih kukuh menyemak dan imbang seluruh perjalanan kerajaan.

3) Malah lebih jauh, pembangkang sudah boleh bermula dengan cadangan formula agihan kerusi sebagai persediaan PRU akan datang. Perbincangan mungkin tidak harus bersifat rigid dan tertutup, namun kesediaan semua parti di blok pembangkang untuk berunding dan bertolak-ansur pastinya menjadi permulaan yang baik dalam membentuk gabungan besar yang lebih kukuh.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional