Sudah 5 tahun bercerai, Ziana Zain akui pernah alami kemurungan & terima pelbagai tohmahan bergelar ibu tunggal

Sudah 5 tahun bercerai, Ziana Zain akui pernah alami kemurungan & terima pelbagai tohmahan bergelar ibu tunggal

 

Stigma perceraian biasanya lebih tertumpu kepada wanita daripada lelaki, menurut beberapa ibu tunggal.

Tidak tahu apa salahnya dan sebab mengapa masyarakat sentiasa berfikiran dan bersikap negatif terhadap wanita yang bercerai terutama ibu tunggal yang sepatutnya diberi sokongan dan pembelaan, kata mereka.

Antara cabaran utama yang sering kali ibu tunggal perlu hadapi ialah dari segi ekonomi dan kalau yang bekerja pula, penjagaan dan membesarkan anak seorang diri.

Berbahas soal ini, Penyanyi Ziana Zain mendedahkan pernah melalui fasa kehidupan yang sangat getir hingga mengalami kemurungan selepas berlakunya perceraian, lima tahun lalu.

Kata pemilik nama lengkap Siti Roziana Zain, 55, emosinya turut terjejas apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai tohmahan menyakitkan hanya kerana dirinya seorang ibu tunggal.

“Bukan senang nak hidup dengan anak-anak tanpa suami. Sukar sebenarnya kerana kita nak kena tempuh mulut orang.

“Orang akan cakap pasal kita, menilai pemakaian termasuk bila balik malam-malam. Tipulah kalau ibu tunggal tak menangis, itu adalah lumrah

“Bila difikirkan balik, boleh jadi gila dan tertekan. Disebabkan itu, saya mengalami kemurungan selama empat tahun selepas berlakunya perceraian.

“Situasi itu menyebabkan saya lebih suka berkurung dalam rumah,” luah Ziana dalam nada sebak ketika ditemui pada majlis pelancaran single Waktu di sebuah hotel.

Bagaimanapun, demi anak-anak, penyanyi yang namanya mula meledak menerusi lagu Madah Berhelah ini bangkit melawan perasaan dan kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

“Melihat anak-anak yang semakin membesar dan memikirkan keperluan mereka, saya kena bangkit dan kuat demi mereka.

“Jika saya terus hidup dalam keadaan seperti ini (berduka), anak-anak juga yang akan susah. Tiada siapa akan tolong selain diri sendiri dan juga semangat.

“Saya juga pernah bertanyakan pada emak, apa yang akan terjadi pada saya anak beranak, jika ditakdirkan abah sudah tiada.

“Pesan emak, saya kena percaya yang Allah akan tolong saya. Syaratnya, saya kena kuat dan sentiasa meminta pertolongan daripada-Nya,” ujar kakak kepada penyanyi Anuar Zain ini.

Terdahulu, kemelut rumah tangga Ziana akhirnya bertemu titik noktah apabila suaminya, Armin Zaharin Ahmad melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Julai 2018.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 24, Muhammad Ammar, 19, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 14.