Sudah rasa akan kalah, Azmin Ali lari ke DUN Morib?

Sudah rasa akan kalah, Azmin Ali lari ke DUN Morib?

 

Susulan kekalahan teruk pada PRU15, Azmin Ali dijangka dipindahkan dari Bukit Antarabangsa ke DUN “selamat” untuk bertanding di PRN Selangor, dengan Morib sebagai pilihan utama, menurut sumber Bersatu.

Selain Morib, Bersatu dikatakan menimbang sehingga enam pilihan lain, termasuk Sijangkang, untuk pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu, kata sumber itu.

“Memang ada rancangan letak Azmin di Morib tetapi keputusan akhir pucuk pimpinan yang tentukan,” katanya.

Beliau berkata walaupun ada desas-desus Azmin turut dipertimbangkan untuk kerusi Sijangkang “tetapi kita sudah setuju Bersatu (bertanding) di Morib dan Sijangkang kekal ditandingi PAS selaku penyandang kerusi itu.”

Morib dan Sijangkang adalah kerusi DUN di Parlimen Kuala Langat. Pada PRU lalu, kubu kuat PH itu ditawan calon PN Dr Ahmad Yunus Hairi daripada PAS, dengan majoriti lebih 7,000 undi.

Ahmad Yunus juga adalah Adun Sijangkang dan diramal mempertahankan kerusi itu pada PRN Selangor yang dijangka diadakan pada Julai ini bersama dengan lima negeri lain.

Kegagalan Azmin mempertahankan Parlimen Gombak Nov lalu, dilihat mendorong Bersatu ‘mencari’ kerusi selamat untuknya pada PRN, walaupun beliau menjadi Adun Bukit Antarabangsa selama 15 tahun.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dari PH menawan Gombak dengan majoriti undi hampir 13,000, dalam petanda jelas pengundi di situ menolak bekas timbalan presiden PKR itu setelah beliau ‘berhijrah’ ke Bersatu.

“Sebenarnya ada tujuh kawasan Azmin boleh bertanding pada PRN, ada juga disebut Hulu Kelang … yang lain saya tidak boleh sebut lagi,” kata sumber itu kepada FMT.

Azmin dilihat sukar mengekalkan DUN Bukit Antarabangsa,yang terletak dalam Parlimen Ampang. Pada PRU lalu, PH menawan semula kerusi itu daripada Zuraida Kamaruddin dengan kelebihan hampir 30,000 undi.

Azmin, menteri besar Selangor dari 2014 hingga 2018 pernah menjadi Adun Hulu Kelang pada 1999 namun tewas pada 2004 kepada calon BN. Beliau kemudian berpindah ke Bukit Antarabangsa pada 2008 dan mewakili kawasan itu sehingga kini.

Namun, berdasarkan keputusan Parlimen Gombak pada PRU15 lalu, Azmin mungkin terpaksa melupakan Hulu Kelang yang dikuasai PH dengan majoriti lebih 2,000 undi.

FMT sedang mendapatkan Azmin mengenai perkara ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, berkata majlis pimpinan pusat PN merangkumi Bersatu, PAS dan Gerakan – dijangka memuktamadkan baki 10% kerusi bertindih di enam negeri minggu depan.

“10% kerusi ini akan dibawa ke majlis presiden yang dijangka bersidang pada minggu depan untuk diselesaikan dan kemudian baru kita tentukan soal calon.

“Pihak jawatankuasa masing-masing sedang selesaikan hujah mereka. Semua negeri ada pertindihan satu dua kerusi … masing-masing nak, bila tak boleh selesai di peringkat negeri, kita hantar ke pusat untuk selesaikan,” katanya.

Selain Selangor, PRN akan turut diadakan di Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.