Sudah sampai masanya Parlimen bersidang semula, bina semula sistem demokrasi

Sudah sampai masanya Parlimen bersidang semula, bina semula sistem demokrasi

KEGAGALAN kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin semakin terserlah berikutan jumlah kenaikan kes jangkitan Covid19 dan angka kematian kian meningkat.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dan darurat telah dilaksanakan,kerajaan masih gagal mengurangkan kadar jangkitan sehingga merisikokan nyawa rakyat.

Atas faktor itu, Parlimen perlu bersidang semula bagi mengembalikan peranan pembangkang sebagai agen semak dan imbang bagi membahaskan permasalahan rakyat.

Proklamasi darurat yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk mengekang dan mengurang kadar kebolehjangkitan Covid-19, selain mengelakkan berlakunya Pilihanraya Negeri,Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Umum.

Terdapat juga negara-negara lain yang melaksanakan darurat, tetapi masih mengadakan persidangan parlimen sama ada secara bersemuka atau maya. Antara negara yang masih mengadakan sidang parlimen ialah Jepun, United Kingdom dan Iran.

Walaupun United Kingdom dan Iran mempunyai kes jangkitan yang tinggi,namun persidangan parlimen masih berjalan seperti biasa tanpa menggunakan sebarang alasan darurat dan sebagainya.

Pengisytiharaan darurat pada 13 Januari yang lalu adalah bertujuan untuk mengelak berlakunya sidang parlimen dan menghalang blok pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya tatkala Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri.

Rakyat sedar bahawa pelaksanaan darurat ini bermotifkan politik yang berselindung di sebalik masalah jangkitan Covid19.

Sebagai pembangkang,mereka hanya mampu untuk mengemukakan pandangan dan cadangan di media sosial dan perkara ini memberikan kesukaran kepada mereka untuk menyampaikan maklumat yang sebenar kepada orang ramai.

Muhyiddim Yassin dan para kabinetnya perlu berhenti bermain politik dan mula memikirkan soal keselamatan dan kesihatan rakyat. Bina semula sistem demokrasi yang telah diruntuhkan oleh kerajaan Perikatan Nasional dengan mengembalikan semula hak parti pembangkang untuk membahas di Parlimen. – MG