Suhaizan jumpa akar umbi jentera PH-BN, lawan propaganda PN

Suhaizan jumpa akar umbi jentera PH-BN, lawan propaganda PN

 

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, menafikan akar umbi Barisan Nasional (BN) dan Umno Johor, menolaknya.

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, propaganda itu sengaja digembar-gemburkan pihak tidak bertanggungjawab bagi melaga-lagakan hubungan baik Pakatan Harapan (PH) dan BN.

Beliau turut menafikan adanya gerakan cawangan-cawangan Umno memboikot dirinya di samping enggan membantu jentera PH-BN berkempen.

“Tak benar (dakwaan diboikot akar umbi Umno Johor), jika (diboikot) bagaimana kami (PH-BN) dapat adakan program pertemuan bersama dengan jentera dan Pusat Daerah Mengundi (PDM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu jentera BN di PDM Sungai Danga di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Terdahulu, Suhaizan turut bertemu jentera BN di PDM Pekaka Perling, di sini.

Desas desus Suhaizan tidak mendapat sokongan dan diboikot akar umbi Umno tercetus selepas kain rentang menolaknya yang dipasang di kawasan Pulai tular sejak hari penamaan calon.

Kain rentang berkenaan tertulis ‘Kami cawangan-cawangan Umno Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan’.

Mengulas isu berkenaan, Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, beliau dimaklumkan kain rentang itu bukan dipasang ahli atau akar umbi Umno.

“Ini adalah propaganda serta tindakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan bukannya ahli Umno.

“Ada pihak lain yang cuba membuat provokasi tidak benar terhadap saya. Saya ingin memaklumkan bahawa yang menurunkan kain rentang itu adalah sahabat daripada Umno,” katanya.

Suhaizan turut memaklumkan beliau sudah meninjau dan bertemu akar umbi jentera PH-BN di tiga kawasan.

Katanya, beliau juga akan meneruskan pertemuan dengan jentera PH-BN selepas ini.

“Selepas mengadakan pertemuan dengan jentera PH-BN, saya dapati wujudnya keterbukaan ahli Umno untuk menerima politik baharu yang dilaksanakan kepimpinan Umno dengan mewujudkan kerjasama Kerajaan Perpaduan PH-BN di peringkat pusat,” katanya.