Suhaizan sifatkan ‘fatwa’ Muhyiddin seolah-olah permainkan hukum agama demi kepentingan politik

Suhaizan sifatkan ‘fatwa’ Muhyiddin seolah-olah permainkan hukum agama demi kepentingan politik

 

Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, disifatkan seolah-olah mempermainkan hukum agama demi kepentingan politik.

Suhaizan berkata, tindakan itu adalah tidak wajar dan sebagai ahli politik yang berpengalaman, Muhyiddin tidak seharusnya menggunakan hukum halal haram terhadap seteru.

“Kita tidak boleh sewenang-sewenang menghukum ini (haram) untuk seteru politik sebab ia ada kesan tidak baik. Saya khuatir nanti semua orang boleh menghukum dengan sewenang-sewenangnya.

“Dalam politik, kita berbeza tidak apa, tidak ada masalah. Tidak mahu mengundi, tidak ada masalah tetapi jangan menggunakan hukum untuk lawan seteru kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi bertemu pemimpin Cina di Pejabat MCA Pulai, semalam, yang turut dihadiri Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Sementara itu, Ka Siong pula menafikan berlaku tindakan boikot dalam kalangan ahli atau penyokong MCA terhadap Suhaizan.

Sebaliknya, beliau berkata, jentera MCA akan berusaha memastikan sekurang-kurang 70 peratus pengundi Cina di kawasan Parlimen itu keluar mengundi, sekali gus membantu memenangkan calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

“Kita hadir hari ini malah sejak minggu lepas lagi… apa yang hendak diboikot? Kita juga telah memberi taklimat kepada jentera dan memaklumkan kawasan tumpuan. Ia sudah dilakukan, kita telah berkampung dan berkempen.

“Saya tidak tahu dari mana datang khabar angin itu. Kalau ada orang nak cakap, biarlah mereka bercakap… daripada pihak kita, langsung tiada boikot,” katanya.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu juga memaklumkan setakat ini, respons masyarakat Cina terhadap Suhaizan amat positif kerana beliau bukan nama asing di Johor.

“Beliau pernah menjadi Speaker DUN (Dewan Undangan Negeri) Johor bawah tiga Menteri Besar. Beliau juga bukan calon bidan terjun, sebaliknya telah lama berkhidmat di kawasan Parlimen ini.

“Apa yang penting, rakyat perlu memilih calon parti yang boleh menjamin kestabilan politik. Namun cabaran ketika ini ialah memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.