Sultan Johor hanya sultan bukan hakim, Tun M jawab inkuiri Pulau Batu Puteh
Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar boleh menyalahkan sesiapa sahaja dalam isu pembatalan rayuan terhadap keputusan kes pertikaian Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura, kata Dr Mahathir Mohamad.
“Dia nak salahkan siapa pun boleh, tapi dia bukan hakim.
“Dia sultan,” kata Mahathir, yang menjadi perdana menteri ketika kerajaan membatalkan rayuan itu pada 2018.
Memetik laporan Malaysiakini, Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan tindakan kerajaan Johor menyalahkannya susulan keputusan itu.
Sultan Ibrahim ketika merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri Johor dua minggu lalu bertitah bahawa baginda kecewa dengan keputusan kerajaan pusat membatalkan rayuan tuntutan Batu Puteh.
Baginda bertitah, “perdana menteri ketika itu”membuat keputusan sendiri dengan mengarahkan peguam negara bercuti dan tidak merujuk dengan Johor walaupun keputusan itu membabitkan tanah dan kedaulatan negeri.
Sementara itu, bercakap ketika memulakan inkuiri pasukan petugas khas Pulau Batu Puteh di Putrajaya hari ini, Mahathir berkata dia tidak dapat mengulas panjang kenyataan baginda.
“Dia boleh bagi pendapat dia. Di negara kita ini sultan bebas, dia above the law (lebih tinggi dari undang-undang). Dia boleh kata apa pun, saya tak boleh jawab.
“Tapi dia boleh kata apa yang dia suka,” kata Mahathir.
Mahathir bagaimanapun membangkitkan isu “jualan 1,700 hektar tanah kepada China” dan projek di Bandar Maharani.
“Dengan kadar (jualan) ini tidak akan ada lagi Johor,” katanya kepada pemberita.