Sultan Kedah titah jangan gunakan masjid untuk berpolitik

Sultan Kedah titah jangan gunakan masjid untuk berpolitik

 

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini bertitah agar umat Islam tidak membangkitkan isu-isu yang boleh menggugat perpaduan ummah.

Sultan Sallehuddin bertitah, baginda mengharapkan agar umat Islam di negeri ini juga sentiasa hidup dalam bersatu padu dan menjaga keharmonian bersama.

“Antara salah satu sebab perpecahan yang melanda masyarakat adalah ketidakmampuan dalam mengendalikan hawa nafsu serta tidak matang dalam memberikan tindak balas dalam perbezaan pendapat sehingga mudah melenting dan bergaduh sesama sendiri.  Walhal, pergaduhan ini ada yang berpunca daripada isu remeh-temeh,” titah baginda pada Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah 1445 Hijrah/2023 di sini hari ini.

Baginda juga memberi peringatan agar rumah ibadat iaitu masjid tidak digunakan sebagai tempat untuk berpolitik kerana dikhuatiri menimbulkan perpecahan.

“Baginda sama sekali tidak bersetuju dengan segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab menggunakan platform masjid sebagai tempat untuk berpolitik dan menimbulkan kegawatan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam,” titahnya.

Bertitah lanjut kata baginda, bibit-bibit perpecahan dapat diatasi sekiranya semua umat Islam kembali semula kepada ajaran yang paling asas iaitu berpegang pada roh al-Quran.

Sultan Sallehuddin menyeru agar umat Islam mengambil iktibar daripada kehidupan Rasulullah S.A.W serta berusaha sedaya upaya menyerap tingkah laku dan akhlak baginda.

Pada majlis itu, Sultan Sallehuddin turut berkenan menyampaikan anugerah kepada Tokoh Maal Hijrah kepada cendiakawan syariah yang juga Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd. Daud Bakar.

Baginda turut berkenan menganugerahkan Masjid Terbaik kepada Masjid Ar Ramlah, Guar Chempedak di Jerai bagi kategori bandar serta Masjid Ar Rahman, Ayer Hitam, Jerlun (luar bandar).