Sultan Nazrin: Sultan Perak yang memiliki PHD dalam Politik Ekonomi dan Kerajaan di Universiti Harvard
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari tahun depan, diputerakan pada 27 November 1956.
Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Kecil Besar Perak pada 16 Februari 1984 dan sebagai Raja Muda Perak pada 15 April 1987.
Setelah kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 28 Mei 2014, Dewan Negara Perak mencapai kata sepakat memilih baginda sebagai Sultan Perak ke-35 dengan gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan pada 29 Mei 2014.
Baginda memulakan alam persekolahan di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur sehingga Tahun 5 dan menyambung pendidikan rendah serta menengah rendah dari Tahun 6 hingga Tingkatan 2 di Sekolah St John, Kuala Lumpur.
Ketika berusia 13 tahun, baginda berangkat ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian di The Leys School, Cambridge.
Baginda kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, diikuti dengan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard.
Baginda ialah Felow Kehormat Worcester College, Universiti Oxford dan juga Magdalene College dan St Edmund’s College, Universiti Cambridge; Ahli Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Felow Diraja Institusi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia; Felow Diraja Institut Kajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa Malaysia; Felow Diraja Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) dan Penaung Diraja kepada Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia.
Baginda dilantik sebagai Canselor Universiti Malaya berkuat kuasa 16 Julai 2014.
Pada 14 Ogos 2014, baginda berkenan menerima peranan sebagai Kolonel Yang Dipertua Rejimen Jurutera Diraja Tentera Darat dan Kolonel Yang Dipertua Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia.
Baginda diijabkabulkan dengan Tuanku Zara Salim pada 17 Mei 2007 dan dikurniakan seorang putera, Raja Azlan Muzzaffar Shah pada 14 Mac 2008 dan seorang puteri Raja Nazira Safya pada 2 Ogos 2011.
Sementara itu, Tuanku Zara diputerakan pada 22 Mac 1973 dan adalah anak bongsu daripada empat beradik.
Baginda bersekolah di Sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan Convent Ipoh dan seterusnya mengikuti pengajian peringkat A-Level di Prime College, Kuala Lumpur.
Baginda juga seorang yang aktif dalam pelbagai aktiviti sukan dan pernah mewakili Negeri Perak dalam sukan renang.
Baginda kemudian melanjutkan pengajian di University of Nottingham, United Kingdom dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kelas Pertama) Kejuruteraan Kimia.
Sekembalinya dari United Kingdom pada 1995, baginda bertugas di PETRONAS, selama enam tahun sebelum memegang jawatan di Formis Malaysia Berhad, sebuah syarikat teknologi maklumat.
Pada 2005, baginda menjadi Pengarah Urusan di Forthwave Consulting Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding hidrokarbon.
Pada 18 Mei 2007, baginda dimasyhurkan dengan gelaran Raja Puan Besar Perak dan pada 20 Jun 2014, dimasyhurkan sebagai Raja Permaisuri Perak.
Sejenis bunga orkid hibrid berwarna ungu dinamakan ‘Dendrobium Tuanku Zara Salim’ sempena keberangkatan lawatan Baginda ke Festival Orkid Antarabangsa ketujuh pada 9 Julai 2007.
Pada 1 Januari 2012, baginda dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Baginda juga adalah Penaung Persatuan Kesihatan Keluarga Perak, Convent Girls Alumni (COGA) dan Pandu Puteri Negeri Perak.