Sumbangan Tunai Rahmah: Ini yang perlu penerima STR buat sebelum 31 Mac ini

Sumbangan Tunai Rahmah: Ini yang perlu penerima STR buat sebelum 31 Mac ini

 

Kementerian Kewangan meminta individu yang layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) agar membuat permohonan segera manakala penerima sedia ada perlu mengemas kini data mereka, sebelum 31 Mac ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pendaftaran dan kemas kini data itu diperlukan susulan pembayaran STR bagi fasa dua akan diselesaikan pada pertengahan Ramadan atau sekurang-kurangnya awal April, sebelum sambutan Aidilfitri.

“Ia bagi memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerja dapat mengemukakan permohonan selain membolehkan penerima sedia ada mengemas kini sebarang perubahan maklumat masing-masing.

“Kita minta dikemas kini kerana tiga tahun data yang telah dikutip sebelum ini tidak dikemas kini, dan ada yang dulu bujang sekarang telah berkahwin, jika bujang pendapatan RM2,500 ke bawah dapat RM350 tetapi kalau mereka sudah berkahwin mereka ada beberapa kategori,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kelantan, di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan supaya pembayaran STR bagi fasa dua diselesaikan pada pertengahan Ramadan atau sekurang-kurangnya awal April, sebelum sambutan Aidilfitri.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata pembayaran STR akan dibuat secara berperingkat dengan fasa tiga dijangka pada Julai manakala fasa empat pada November.

“Bagi pembayaran STR bagi fasa satu telah pun selesai diagihkan pada 17 Jan lepas dengan 8.7 juta penerima melibatkan bayaran RM1.67 bilion.

“Di Kelantan, jumlah pemohon STR secara manual dan dalam talian adalah seramai 806,024 orang dan permohonan yang diluluskan setakat ini adalah seramai 587,160 orang melibatkan bayaran keseluruhan sebanyak RM519,638,850,” katanya.

Beliau berkata STR kali ini membabitkan peruntukan terbesar pernah diberikan iaitu RM8 bilion untuk diagihkan kepada sembilan juta rakyat.

“Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan berjumlah RM600 kepada isi rumah miskin tegar yang wujud dalam data e-Kasih, Pejabat Persekutuan Negeri atau Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Sumbangan tambahan ini akan diberikan dalam bentuk bakul makanan dan baucar barangan makanan asas bernilai RM100 bagi tempoh enam bulan,” katanya.