Susunan di Parlimen, Muhyiddin diberikan kerusi lebih penting berbanding Haji Hadi

Susunan di Parlimen, Muhyiddin diberikan kerusi lebih penting berbanding Haji Hadi

Bekas perdana menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) diberi kerusi lebih penting di sebelah Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin mengatasi presiden PAS Abdul Hadi Awang (PN-Marang).

Memetik Malaysiakini, turut berada di blok pembangkang adalah bekas pemimpin Umno, Shahidan Kassim (PN-Arau) yang duduk bersebelahan dengan Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota)

Anwar Ibrahim menjadi ahli parlimen pertama yang beralih secara terus daripada kerusi ketua pembangkang ke kerusi perdana menteri.

Dia akan digantikan oleh Hamzah Zainuddin (PN-Larut), yang memasuki penggal keduanya sebagai ahli parlimen pembangkang sejak 2018.

Kedudukan ketua pembangkang itu amat penting kerana ahli parlimen itu lazimnya akan menjadi orang pertama diberi peluang membahaskan sebarang usul atau rang undang-undang yang penting.

Ia juga adalah tradisi dalam sistem Westminster yang memperuntukkan jawatan ketua pembangkang untuk calon bakal perdana menteri.

Hamzah, 65, sebelum ini adalah menteri dalam negeri semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin dan kemudiannya, ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Perdana menteri sebelum Anwar, Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) telah dipindahkan ke Blok D, walaupun masih di barisan hadapan.

Ismail Sabri diapit oleh Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) pula duduk di sebelah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar).

Blok D terletak betul-betul bertentangan dengan speaker dan lazimnya dikhaskan untuk pemimpin kanan penyokong kerajaan.

Seperti Anwar, Ismail Sabri pernah menjadi ketua pembangkang, memegang jawatan itu antara Mac 2019 dan Februari 2020.

Di sebelah kanan Anwar dia akan disokong empat rakan utama – Pengerusi BN dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk), Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya), Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (PHn-Seremban) dan Presiden Amanah Mohamad Sabu (PH-Kota Raja).

Apa yang ketara, dia turut memilih menteri dalam negerinya, Saifuddin Nasution (Senator PH) untuk berada di belakangnya.

Kedua-dua perdana menteri sebelum ini telah memperuntukkan kerusi berkenaan kepada menteri undang-undang mereka – iaitu Takiyuddin Hassan dan Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sebaliknya, menteri undang-undang Anwar, Azalina Said Othman (BN-Penggerang) duduk di barisan tiga, betul-betul di belakang Saifuddin.

Menteri undang-undang adalah jawatan penting dan sering dipanggil oleh perdana menteri untuk menjelaskan rang undang-undang kepada Dewan Rakyat, terutama yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, laman web Parlimen menyenaraikan Jonathan Yasin (GRS-Ranau) dan Matbali Musah (GRS-Sipitang) sebagai ahli “Bersatu”.

Bagaimanapun, laman web itu tidak menyenaraikan Armizan Mohd Ali (Papar) dan Khairul Firdaus Akhbar Khan (Batu Sapi), yang kedua-duanya ahli Parlimen yang menang atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Keempat-empat mereka mengumumkan keluar dari Bersatu pada 10 Dis, mencetuskan spekulasi sama ada keputusan mereka telah mencetuskan peruntukan “anti-lompat” yang terkandung dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.