Syamsul Yusof jawab dakwaan Ira Kazar hamil, anggap perkahwinan sebagai jalan taubat
Pengarah dan pelakon sensasi, Syamsul Yusof menafikan spekulasi berhubung dakwaan isteri keduanya iaitu Ira Kazar sedang berbadan dua.
Menurut laporan mStar Online, pengarah berusia 39 tahun itu berkata, dia sendiri akan mengesahkan jika benar isterinya yang juga anak pelakon veteran, Kazar Saisi itu hamil.
“Itu fitnah… saya dapat tahu pun dari kenalan saya dan kalau mengandung pun, Alhamdulillah. Tapi saya nak jelaskan memang (Ira) tidak hamil dan kalau ada berita baik saya akan beritahu,” katanya.
Syamsul berkata, dia sering menitipkan pesanan kepada Ira supaya terus bersabar memandangkan wanita itu berterusan menerima kecaman warganet di media sosial.
“Semestinya sesiapa sahaja yang berada ditempat saya, dia atau Sarah sekali pun pasti akan terkesan.
“Tapi saya sentiasa pesan pada Ira agar bersabar sebab ini ujian serta pasti ada hikmah. Jadi terus bersabar dan solat,” ujarnya.
Pada masa sama, pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu berharap orang ramai mendoakan dirinya agar dapat menjadi suami yang baik serta adil dalam berpoligami.
“Doakan sahaja yang baik-baik. Saya pun sentiasa berdoa supaya saya jadi seorang suami yang baik dan adil. Orang kata kahwin ini pun salah satu jalan taubat juga,” kongsinya.
Sementara itu, Syamsul menyerahkan soal rezeki kepada Allah SWT selepas terdapat gerakan ingin memboikot filem terbaharu arahannya yang berjudul The Original Gangster.
“Sudah tentu saya sedih tapi saya percaya rezeki Allah… kalau orang nak boikot pun saya Alhamdulillah sahaja,” katanya lagi.
Hari ini, Syamsul atau nama penuhnya Mohd Syamsul Mohd Yusof memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.
Permohonan itu dibuat selepas dia enggan menceraikan Sarah yang juga pelakon pada 7 Mac lalu dimana kedua-duanya diperintah melantik wakil Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga.
Untuk rekod, Syamsul dan Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah yang kini berusia lima tahun.