Syamsul Yusof mohon jadi pencelah antara Puteri Sarah & Ira Kazar

Syamsul Yusof mohon jadi pencelah antara Puteri Sarah & Ira Kazar

 

Pengarah terkenal, Syamsul Yusof memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencelah dalam petisyen perintah injunksi antara isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana, dan isteri keduanya, Ira Kazar.

Memetik Harian Metro, permohonan tersebut difailkan pada 21 Februari lalu melalui peguam Azahir Nasir dari Tetuan Azahir Surianie & Azizan Ariff yang mewakili Syamsul.

Dalam afidavit sokongan itu, Syamsul mendakwa dinasihatkan peguam supaya mencelah dan dijadikan defendan dalam kes tuntutan dikemukakan Puteri Sarah kepada Ira.

Menurutnya, tuntutan Puteri Sarah ke atas Ira adalah berkaitan dengan dirinya dan jika tuntutan dibenarkan akan memberi kesan kepada perkahwinan dan hubungan dengan keluarga Ira.

Dalam afidavit tersebut, Syamsul mendakwa perintah injunksi itu tidak boleh menghalang hubungan perkahwinan dengan Ira.

Syamsul mendakwa permohonan itu perlu difailkan kerana keterangannya boleh memberi pencerahan kepada mahkamah bagi menghalang perintah injunksi itu daripada dikuatkuasakan.

Ia berikutan dia dan Ira sudah berkahwin serta menjaga keharmonian perkahwinannya dengan kedua-dua isterinya.

Terdahulu, mahkamah yang membenarkan permohonan Puteri Sarah untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ira, kakaknya, Yasmin dan bapanya, Kazaruddin Saisi.

Difahamkan, Ira dan ahli keluarganya perlu menjawab kepada mahkamah berhubung tindakan mengingkari perintah injuksi yang dikeluarkan terhadap mereka pada Julai tahun lalu.