Syamsul Yusof tidak mahu keluar kenyataan yang boleh menyakiti Puteri Sarah lagi, reda jika berpisah

Syamsul Yusof tidak mahu keluar kenyataan yang boleh menyakiti Puteri Sarah lagi, reda jika berpisah

 

Mahkamah Rendah Syariah telah menetapkan 8 Mei sebagai tarikh baharu lagi sebutan kes tuntutan nusyuz yang difailkan pengarah kontroversi, Syamsul Yusof terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana.

Menurut laporan Berita Harian, anak kepada penerbit dan pengarah popular, Datuk Yusof Haslam itu mendedahkan perkara tersebut berlaku disebabkan Puteri Sarah tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana berada di luar negara atas urusan kerja.

Bagaimanapun, Syamsul enggan untuk mengulas dengan lebih lanjut mengenai kemelut rumah tangga yang berlaku bersama isteri pertamanya untuk menjaga privasi masing-masing.

“Hari ini adalah sebutan nusyuz, tetapi Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana ada urusan di luar negara.
“Saya tak mahu cakap banyak sebab takut salah cakap. Apa-apa pun, doakan yang baik-baik antara saya dan Puteri Sarah sama ada berakhir dengan baik atau tidak.
“Kita doakan yang terbaik. Allah Maha Mengetahui. Hanya mampu bersangka baik kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Bukan itu sahaja, pengarah yang berusia 39 tahun itu berharap agar orang ramai mendoakan yang terbaik untuk dirinya serta artis lain memandangkan ada yang mengalami konflik yang sama.

Dalam masa sama, Syamsul juga memohon orang ramai mendoakan yang terbaik buat rakan-rakannya menghadapi kemelut rumah tangga.
“Doakan yang terbaik bukan untuk saya sahaja, tetapi rakan-rakan artis lain sebab kita nampak ia jadi ‘trend’. Ini bukan perkara main-main. Ini mengenai kehidupan peribadi dan tidak nampak indah yang disangka. Inilah realiti.
“Doakanlah kami semua. Itulah hakikat sebenar,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Syamsul turut reda dengan apa yang bakal berlaku mengenai keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes cerai pada Isnin depan.

“Insya-Allah, saya cuba reda dengan apa sahaja, mudah-mudahan begitu juga dengan Puteri Sarah. Saya pun tidak mahu mengeluarkan kenyataan melukakan hati Puteri Sarah lagi. Harap boleh selesai dengan baik,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Syamsul memfailkan permohonan nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 21 Mac lalu untuk beberapa tuntutan atas beberapa alasan seperti Puteri Sarah meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, masih menghubungi bekas kekasih, enggan mematuhi notis nusyuz dan keempat sudah membuat fitnah.