Syarat nak sambung kontrak kerja, bos miang ajak pekerja wanita ‘staycation’

Syarat nak sambung kontrak kerja, bos miang ajak pekerja wanita ‘staycation’

 

Bos di sebuah syarikat di Cikarang, Jawa Barat, yang mengugut pekerja wanita untuk cuti inap (staycation) bersamanya sebagai syarat kontrak kerja mereka disambung, sudah dipecat.

Kompas melaporkan, lelaki itu diberhentikan sementara sehingga siasatan lanjut dijalankan.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Tenaga Kerja dan Transmigrasi Jawa Barat, Rachmat Taufik Garsadi.

Beliau berkata, siasatan dilakukan polis kerana membabitkan kesalahan jenayah.

“Siasatan dalaman turut dilakukan selain siasatan lanjut oleh pihak polis,” katanya menerusi WhatsApp, pada Jumaat lalu.

Menurut Rachmat, pihaknya menyokong usaha penguatkuasaan undang-undang terhadap individu yang melakukan gangguan seksual di tempat kerja.

Katanya, ia selaras saranan kerajaan supaya tindakan diambil terhadap pelaku gangguan seksual mengikut undang-undang ditetapkan bagi mengekang perbuatan itu.

Sementara itu, Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil turut meminta polis mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan terbabit.

“Saya sudah katakan sebelum ini bahawa pelaku seksual di pejabat boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah,” katanya ketika ditemui media di Masjid Al Jabbar, Kota Bandung, Jawa Barat, Sabtu lalu.

Emil menghargai tindakan pantas polis menjalankan siasatan dan berharap pesalah boleh dihukum sebagai satu bentuk pencegahan.