Syarikat judi Genting dapat pinjaman RM3 bilion tanpa jaminan oleh GLC Malaysia

Syarikat judi Genting dapat pinjaman RM3 bilion tanpa jaminan oleh GLC Malaysia

Kenyataan Media
27 Januari 2022

MENGAPA PNB, KHAZANAH, DAN KWSP BERI PINJAMAN KEPADA SYARIKAT PERJUDIAN?

Saya ikuti pendedahan terkait tiga bank Malaysia, Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad yang dijangka mengalami kerugian berbilion ringgit ekoran Genting Hong Kong yang diisytihar muflis.

Menurut laporan media, ketiga-tiga bank tersebut telah memberi pinjaman tanpa jaminan berjumlah AS$600 juta (RM2.51 bilion).

Saya mendesak Menteri Kewangan untuk segera menjawab persoalan mengapakah bank-bank ini dibenar memberi pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong.

Ini adalah kerana kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pemegang saham terbesar dalam ketiga-tiga bank itu.

Bagaimana pinjaman tanpa jaminan kepada syarikat perjudian ini boleh diberi dengan sebegitu mudah?

Walaupun syarikat itu berdaftar di Hong Kong, pemiliknya adalah ahli perniagaan Malaysia yang sekurang-kurangnya perlu diminta jaminan peribadi atau simpanannya dalam syarikat yang dimilikinya di Malaysia.

Menteri Kewangan juga dituntut menjelaskan bagaimana pinjaman RM2.51 billion ini akan dibayar oleh Genting Hong Kong yang sudah muflis.

Bagi saya, penjelasan ini perlu disegerakan bagi mengelak skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) Hong Kong berulang.

ANWAR IBRAHIM