Tabika elit: Kerajaan tidak perlu berniaga

Tabika elit: Kerajaan tidak perlu berniaga

Pemuda AMANAH memandang serius kenyataan Timbalan Menteri I di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), YB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad bahawa Tabika akan mewujudkan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) elit untuk ibu bapa yang lebih berkemampuan.

Pada hemat kami, polisi seperti ini akan membuatkan situasi sosial semasa bertambah parah dengan faktor-faktor penting yang perlu diberikan perhatian.

Pertama, masyarakat kita sudah sedia terpisah oleh kaum dan agama. Kewujudan Tabika Elit akan menyebabkan pemisahan jenis baharu iaitu antara dua darjat (class divide), antara kaya dengan yang miskin.

Kedua, mengutamakan sumber pendidikan kepada golongan elit sedangkan tabika lain rata-ratanya akan kekal di takuk lama serta mengakibatkan jurang antara miskin dan kaya semakin melebar. Adakah menjadi tugas kerajaan untuk memberi subsidi kepada si kaya dan memberi tabika tidak cukup sifat kepada si miskin?

Ketiga, dari manakah datangnya sumber untuk membina Tabika Elit ini? Jika ianya daripada wang pembayar cukai, adakah ini bermaksud ada tabika yang akan dipotong bajetnya untuk menampung subsidi kepada si kaya? Kalau sekarang kita ada sekolah elit dan sekolah daif, adakah selepas ini kita akan ada tabika daif yang bocor atapnya dan bolos lantainya?

Keempat, adakah kita tidak cukup lagi rangkaian tadika swasta elit seperti rangkaian Montessori dan lain-lain?

Kelima, kerajaan tidak perlu berniaga! Cukup-cukuplah kegagalan perniagaan kerajaan yang bertimpa-timpa seperti Bank Bumiputera, Malaysia Airlines, Proton dan 1MDB. Serahkan sahaja perniagaan kepada rakyat, kerajaan sepatutnya tumpukan sahaja kepada perkhidmatan awam.

Jika ibu bapa mempunyai sumber tambahan, mereka sentiasa boleh menyumbang ke arah menaik taraf kualiti kemudahan mana-mana Tabika atau sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melalui kerjasama awam-swasta.

Pemuda AMANAH menyeru agar rakyat terus mengingatkan kerajaan terutamanya KPLB agar mengutamakan misinya untuk membawa pembangunan kepada masyarakat luar bandar, bukannya berniaga untuk kepentingan ibu bapa yang kaya sahaja!

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional