Tabung Haji mungkin kaji semula subsidi terhadap jemaah haji

Tabung Haji mungkin kaji semula subsidi terhadap jemaah haji

Sejurus berakhirnya musim haji tahun ini, isu kemungkinan akan berlaku lagi peningkatan bayaran mengerjakan ibadah itu untuk jemaah muassasah di negara ini kembali dibicarakan.

Kemungkinan berlaku peningkatan bayaran itu dibayangkan oleh Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Azman Mokhtar pada bulan lepas, apabila beliau menyatakan Tabung Haji dijangka membincangkan mengenai isu kenaikan kos musim depan dengan kerajaan.

Bagi mereka yang terbabit dalam pengurusan haji, peningkatan bayaran untuk musim haji 1444 Hijrah/2023 Masihi, jika berlaku, dianggap wajar kerana kos mengerjakan ibadah itu sebenarnya meningkat saban tahun atas beberapa faktor termasuk inflasi, pergerakan nilai tukaran mata wang, pengenalan caj dan cukai baharu oleh kerajaan Arab Saudi, selain pembangunan di Makkah dan Madinah.

Meskipun begitu, kata mereka, kenaikan kos itu tidak begitu dirasai oleh jemaah haji muassasah negara ini lantaran langkah Tabung Haji yang melaksanakan bantuan kewangan.

Berkongsi pandangan mengenai perkara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, peningkatan kos haji adalah perkara yang perlu diterima oleh bakal jemaah kerana ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, kenaikan itu adalah fenomena yang sudah dijangka, khususnya pascapandemik Covid-19.

“Memang dijangka kos haji meningkat setiap tahun atas beberapa faktor termasuk penginapan jemaah, pengangkutan dan pergerakan jemaah haji serta lain-lain perkara yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi di saat kita masih berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini.

“Umat Islam yang berhasrat untuk menunaikan haji perlu bersedia dengan kenaikan kos itu, dan mereka (bakal haji) tidak boleh bergantung pada subsidi atau bantuan kewangan semata-mata untuk menunaikan ibadat itu,” katanya kepada Bernama.

Ini juga seiring dengan pendekatan maqasid syariah (matlamat dalam setiap hukum syarak) yang mana antara kewajipan menunaikan fardu haji adalah bagi mereka yang berkemampuan termasuk dari sudut kewangan.

Justeru, sekiranya bakal jemaah haji memahami konsep berkemampuan mengikut lunas Islam, pasti secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban kos subsidi yang ditanggung oleh Tabung Haji.

“Istilah kemampuan ini juga boleh dipecahkan kepada aspek-aspek berikut, iaitu bakal haji berkemampuan membayar kos tunai haji, ada bekalan nafkah untuk waris yang ditinggalkan, ada pengangkutan, aman perjalanan (tiada kekacauan), sihat tubuh badan dan mempunyai masa dan kebenaran (untuk menunaikan haji).

“Sudah tiba masanya Tabung Haji tidak dibebankan dengan jumlah subsidi haji yang tinggi dan bakal haji perlu bersedia untuk membayar lebih serta tidak boleh lagi bergantung pada bantuan Tabung Haji semata-mata,” katanya.

Tabung Haji dianggar membelanjakan hampir RM200 juta untuk musim haji tahun ini bagi menampung sebahagian daripada kos sebenar mengerjakan ibadah itu.

Katanya, sebagai ‘orang lama’ dalam bidang pengurusan haji, beliau berpandangan pemberian bantuan kewangan haji itu perlu diteliti semula termasuk hanya diberikan kepada bakal haji yang benar-benar layak.

Ini kerana bantuan kewangan yang diberikan secara langsung oleh Tabung Haji pada masa ini tidak hanya dimanfaatkan oleh golongan sasaran tetapi turut dinikmati oleh mereka yang berpendapatan tinggi dan berkemampuan membayar kos sebenar.

“Saya pernah berkhidmat dengan Tabung Haji (selama) kira-kira 25 tahun, dan saya melihat peruntukan subsidi yang diberikan kepada jemaah muassasah ini terlalu tinggi hingga mencapai lebih 60 peratus untuk seorang jemaah.

“Bagi saya, secara peribadi, Tabung Haji kena nilai semula pemberian subsidi haji secara menyeluruh sebab kita tidak mahu, jika bantuan itu diberikan dalam jangka masa panjang, ia akan beri kesan kepada Tabung Haji itu sendiri. Bagi saya, kalau nak bagi bantuan pun cukup sekadar 30 peratus.

“Dalam situasi ini, kita kena berbalik kepada maqasid syariah. Selain keupayaan kewangan, mereka yang layak juga mestilah sihat tubuh badan dan bebas penyakit. Saya lihat ada jemaah (ketika melakukan ibadah haji) menggunakan kerusi roda dan ditolak dengan bantuan petugas haji, sedangkan mereka yang sakit ini tidak wajib pun menunaikan haji,” tambahnya.

Pada awal tahun ini, Tabung Haji menganggarkan kos menunaikan ibadah itu bagi setiap jemaah muassasah untuk musim 1445 Hijrah/2022 Masihi ialah RM25,540, namun angka sebenar meningkat kepada RM28,632.

Daripada jumlah itu, seorang jemaah muassasah B40 hanya membayar RM10,980, manakala bagi yang bukan daripada B40 pula sebanyak RM12,980.

Pandangan senada turut disuarakan oleh Pengarah Eksekutif Wira Saujana Travel & Tours Mohamad Adzri Othman yang berkata, pemberian bantuan itu seharusnya dibuat secara bersasar dengan memfokuskan pada mereka yang kurang berkemampuan, bukan meliputi semua jemaah seperti amalan semasa.

“Bantuan yang diberikan biarlah adil, sedangkan ada dalam kalangan jemaah muassasah ini daripada mereka yang mampu pergi haji tanpa bantuan (kewangan) Tabung Haji pun. Bagi saya perkara seperti inilah yang perlu dinilai semula,” katanya.