Taikun Malaysia rugi RM10j selepas kalah main judi di London

Taikun Malaysia rugi RM10j selepas kalah main judi di London

Taikun Malaysia Lim Han Joeh dilaporkan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah kelab perjudian eksklusif kerana membenarkannya berjudi selama 72 jam dengan rehat yang terhad.

Menurut laporan Nalaysiakini, Lim dalam pemfailan undang-undang berhujah bahawa ketiadaan tindakan daripada Aspinall’s Club adalah melanggar Akta Perjudian negara 2005 yang memerlukan orang yang terdedah dilindungi daripada dicederakan atau dieksploitasi oleh perjudian.

Laporan itu memetik writ Mahkamah Tinggi di UK dengan para peguam Lim berhujah bahawa Aspinall’s Club, bukan saja tidak menghentikan maraton perjudian Lim yang menyaksikan kekalahannya berturut-turut, tetapi memberikan kredit hampir £2 juta (RM11.23 juta).

Lim dilaporkan mula berjudi dengan cek sebanyak £600,000 (RM3.37 juta) sebelum dilanjutkan perjudian dengan pinjaman.

“Aspinalls membenarkan pihak yang menuntut (Lim) satu lagi kredit sebanyak £2 juta, yang mana dia masih lagi kalah. Pihak yang menuntut ini mengalami kekalahan berturut-turut dan kelihatan terdesak dan panik.

“Bagaimanapun, Aspinalls mengambil kesempatan daripada percubaan tertekan pihak menuntut itu untuk memulihkan kerugian dengan membenarkan lebih banyak dana dan lebih banyak masa untuk berjudi,” menurut writ yang dipetik oleh laporan itu.

Tindakan undang-undang itu dibuat selepas Lim kalah dalam kes mahkamah yang dibawa oleh Aspinall’s Club yang telah berusaha untuk menuntut pinjaman £1,995,437 yang telah diberikan kepadanya.

Menurut keputusan mahkamah UK mengenai pertikaian itu, insiden perjudian tersebut berlaku pada Oktober 2015. Lim menjadi ahli Kelab Aspinall pada Jan 2014.

Pada September 2018, Aspinall’s Club memulakan tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula pinjaman, termasuk berusaha membekukan asetnya dan memohon perintah mahkamah agar Lim mendedahkan asetnya yang lain di seluruh dunia.

Mahkamah akhirnya memutuskan untuk memihak kepada Aspinall’s Club. Ia juga mendenda Lim £100,000 kerana menghina mahkamah selepas mendapati dia, antara lain, gagal mematuhi pendedahan itu.

Lim ialah pengarah eksekutif di Yinson Holdings Berhad dari 1996 hingga 2016. Dia kemudiannya dilantik semula sebagai pengarah bebas bukan eksekutif.

Lim Han Joeh merupakan adik lelaki kepada ahli perniagaan Lim Han Weng, yang mengasaskan syarikat itu.