Tajuddin dipecat sebagai pengerusi Prasarana, tindakan berani Zafrul dapat pujian netizen

Tajuddin dipecat sebagai pengerusi Prasarana, tindakan berani Zafrul dapat pujian netizen

 

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dipecat sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam surat kepada Pengarah Pilihan Raya Umno itu bertarikh 26 Mei, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengucapkan terima kasih kepada Tajuddin atas perkhidmatannya.

Tajuddin dilantik sebagai pengerusi Prasarana pada 11 Mei tahun lalu.

Jurucakap Kementerian Kewangan mengesahkan kesahihan surat tersebut.

Pemecatan beliau menyusul kejadian kemalangan LRT dua hari lalu yang mengakibatkan 213 penumpang cedera, dengan lebih daripada 60 dihantar ke hospital.

Kemalangan tersebut adalah kejadian terburuk melibatkan Laluan Kelana Jaya sejak ia mula beroperasi sebagai Laluan Putra pada 1996.

Tajuddin dikritik hebat berhubung sidang media yang diadakannya semalam selepas tinjauan di lokasi kemalangan pada pagi selepas kejadian.

Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam (4PAM) menyeru agar Tajuddin meletak jawatan susulan kemalangan itu, dengan berkata, ketiadaan kenyataan segera daripada beliau berhubung kejadian itu disifatkan sebagai tidak menghormati para penumpang.

Petisyen dalam talian yang menggesa beliau berundur turut menjadi tular.

Tajuddin juga dihentam netizen kerana bersikap tidak sensitif dan kurang ajar semasa sidang medianya, dengan banyak pihak menuntut peletakan jawatannya, dan menggambarkan sidang media berkenaan sebagai “bencana” perhubungan awam.

Pada sidang media tersebut, beliau meminta pihak media supaya tidak mencetuskan provokasi atau mensensasikan sesuatu isu.

“Jangan lah suka ‘provoke’, apa gunanya?” kata beliau.

Tidak dapat dipastikan sama ada beliau dipecat berhubung kemalangan LRT atau sidang media berkenaan. – FMT