Tak adil ketepikan pemimpin Umno yang ada kes mahkamah, kata Tajudin

Tak adil ketepikan pemimpin Umno yang ada kes mahkamah, kata Tajudin

Tidak adil untuk mengetepikan’ pemimpin UMNO yang mempunyai kes pendakwaan di mahkamah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sehingga dibuktikan oleh mahkamah bersalah atau tidak, mana-mana pemimpin yang berhadapan dengan tuduhan dan pendakwaan mempunyai hak berada dalam parti dan mempertahankan diri.

Justeru beliau menganggap saranan bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam baru-baru ini sebagai pandangan peribadinya sahaja.

“Ini pandangan beliau tetapi kita juga kena berlaku adil sebab seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah (oleh mahkamah).

“Mereka yang belum dibuktikan bersalah secara sahnya masih belum didapati bersalah ada hak. Cuma pandangan masyarakat, pandangan pengundi. Kita telah menghukum lebih awal mereka-mereka ini,” katanya ketika dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Depot LRT Ampang, hari ini.

Kelmarin Musa dilaporkan berkata, UMNO perlu berani mengambil pendirian untuk mengenepikan mana-mana pemimpin yang ada hubung kait dengan pendakwaan di mahkamah.

Katanya tindakan itu perlu diambil untuk menyelamatkan UMNO.

Menurutnya, semua pemimpin yang sedang menghadapi pendakwaan di mahkamah harus diketepikan sehinggalah membuktikan mereka tidak bersalah.

Meskipun faham apa yang cuba disampaikan oleh bekas Timbalan Presiden UMNO itu, namun Tajuddin berkata, setiap pemimpin yang terlibat dengan kes mahkamah mempunyai hak untuk menegakkan hak masing-masing.

Untuk rekod, antara pemimpin UMNO yang sedang berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah adalah Datuk Seri Najib Razak dan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – MG