Tak berani ambil tindakan terhadap Osman Sapian, Muhyiddin hanya pesan untuk ‘slow’
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin telah menasihati bekas Menteri Besar Johor Osman Sapian berhubung tindak tanduknya sehingga menimbulkan kontroversi baru-baru ini.
Perkara tersebut diakui sendiri Adun Kempas itu ketika ditanya sama ada Muhyiddin yang juga perdana menteri, ada menyatakan sesuatu kepadanya mengenai tindakannya menghadiri program Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Slim, Perak, bulan lepas.
Osman berkata Muhyiddin yang juga Adun Gambir, sempat memberikan nasihat “secara santai” ketika bertemu pada sesi sidang DUN Johor, pada Khamis lepas dan hari ini.
“Beliau (Muhyiddin) cakap dengan saya ‘slow’ sikitlah, jangan cakap banyak,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, di Iskandar Puteri, hari ini.
Sebelum ini, tular video yang menunjukkan Osman, Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam, dipercayai sedang berucap berkempen menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim.
Namun, Osman dilapor sebagai berkata kehadirannya di program itu hanyalah sekadar bertemu rakan lama sambil makan angin dan tiada kaitan dengan hal politik.
Sumber : Malaysiakini