“Tak faham bahasa ke?” Anwar bidas Hamzah
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi pendirian, surat yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah berbentuk rayuan dan permohonan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang memberitahu surat tersebut mempunyai unsur hasutan serta mengancam ketenteraman negara.
“Apa yang kita sebut merayu memohon ihsan dan kebijaksanaan. Tidak faham bahasa ke? Memohon atau merayu itu bermaksud meminta ihsan, kebijaksanaan Tuanku.
“Bagi mempertimbangkan, apakah itu bunyi desakan? Apakah rakyat biasa, jangan fikirkan saya sebagai ketua pembangkang, contohnya sebagai rakyat, tukang cuci, barisan hadapan, pekerja biasa, tidak boleh merayu kepada baginda?
“Untuk meminta supaya mempengaruhi keadaan, memperbaiki keadaan? Hal-hal yang kita tidak setuju, apakah tanggungjawab rakyat, mesti sokong semua tindakan kerajaan?
“Yang kita bantah itu adalah keputusan Perdana Menteri dan jemaah menteri,” tegasnya dalam kenyataan sewaktu bersiaran langsung menerusi Bicara Anwar Ibrahim di akaun Facebooknya pada Selasa.
Terdahulu, polis telah membuka siasatan terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu susulan 13 laporan diterima berhubung rayuan untuk menggugurkan pengisytiharan darurat.
Hamzah dilaporkan berkata, ia termasuk beberapa individu lain yang senada menentang darurat dan mendesak Yang di-Pertuan Agong membatalkannya.
Pada 24 Januari lalu, Anwat telah menghantar surat kepada semua ahli Parlimen mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong dalam usaha merayu membatalkan pelaksanaan darurat di negara ini dan Parlimen boleh segera bersidang.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagaimanapun berkata, surat berkenaan perlu disesuaikan berdasarkan pertimbangan semua ahli Parlimen dan parti masing-masing. – AA