Tak pasti penyakit yang dialami, Rohana Jalil kini kritikal di ICU

Tak pasti penyakit yang dialami, Rohana Jalil kini kritikal di ICU

Penyanyi terkenal era 1980-an, Rohana Jalil dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) , Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) namun, penyakit yang dialaminya tidak diketahui.

Menurut laporan Berita Harian, perkara duka tersebut dimaklumkan sendiri oleh rakan baiknya, Datin Salwa Abdul Rahman yang memberitahu Juara Bintang RTM 1980 itu kini sedang kritikal sejak semalam.

Katanya, doktor masih memantau dan memeriksa mengenai penyakit yang dialaminya memandangkan pelantun lagu Rayuanku tersebut tidk pernah mempunyai sebarang penyakit serius.

“Jaafar Onn ada menunjukkan gambarnya bersama Rohana ketika mengadakan persembahan di Plaza Shah Alam pada Ahad lalu. Bagaimanapun, Jaafar beritahu ketika sedang menyanyi, Rohana tidak boleh berdiri secara tiba-tiba.
“Rohana nak duduk dan terus berada dalam keadaan lemah. Saya memang terkejut kerana mengenalinya, Rohana seorang yang aktif dan jarang sakit.
“Semalam, saya mendapat khabar keadaan Rohana kritikal dalam ICU dengan penyakit yang belum diketahui,” katanya.

Susulan itu, Rohana telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya namun, anak-anaknya tidak memberitahu perkara tersebut kepada sesiapa.

“Bagaimanapun, bila keadaan Rohana semakin kritikal, anak-anaknya mula berkongsi perkembangan kesihatan Rohana dan minta mendoakan kesembuhan.
“Pelawat tidak dibenarkan melawat Rohana, buat masa ini. Ini kerana Rohana masih dalam ICU dan bernafas menggunakan bantuan oksigen.
“Saya dengar Rohana sudah ada tindak balas sedikit, namun keadaannya masih lemah dan dalam pemantauan, semalam,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, memandangkan tubuh fizikal Rohana yang semakin kurus, Salwa tidak mengetahui jika rakan baiknya itu mempunyai penyakit kerana dia dilihat sentiasa cergas dan aktif.

Dalam pada itu, Salwa akan hadir melawat apabila mendapat izin daripada keluarga Rohana dan meminta kepada orang ramai supaya mendoakan penyanyi yang berusia 68 tahun itu sihat seperti sedia kala.