Tak pernah terfikir raih pendapatan RM2k seminggu, IPR berjaya ubah kehidupan peniaga kecil
Siapa sangka Musibah banjir yang melanda Johor tahun lalu membuka peluang rezeki lebih besar kepada seorang penduduk di Segamat apabila cubaannya menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) memberikan hasil yang cukup lumayan buatnya.
Haida Abdul Rahman, 48, yang juga seorang peniaga kecil-kecilan berkata, dia kini mampu meraih pendapatan bersih sehingga RM2,000 seminggu dan RM5,000 sebulan.
Pendapatan itu jauh lebih besar berbanding sebelum ini di mana dia hanya mampu meraih pendapatan bersih sekitar RM1,500 sebulan.
Bercerita kisah awal ketika dia terdetik menyertai IPR, Haida berkata dia ketika itu sedang berada di pusat perpindahan banjir.
Semasa mengisi waktu lapang di pusat berkenaan, dia terjumpa laman sesawang Kementerian Ekonomi yang menawarkan penyertaan dalam IPR.
Tidak melepaskan peluang, Haida yang juga ibu kepada empat anak itu nekad mengisi borang secara atas talian untuk menyertai program ditawarkan.
“Saya pun teruslah isi borang ‘online’ dan lepas seminggu dapat ‘feedback’ dari kementerian meminta saya menghantar maklumat terperinci serta pengesahan dari penghulu.
“Dua bulan selepas itu saya menerima maklum balas dari pihak kementerian lagi, meminta saya mengisi maklumat Google Map pula,” katanya memetik laporan Bernama baru-baru ini.
Menurutnya lagi, namanya disenarai pendek pada bulan Julai tahun lepas dan pegawai kementerian menemu bual serta membuat pemeriksaan keadaan rumah pada bulan sama.
Dua bulan selepas itu pula namanya terpilih sebagai salah seorang dari dua perserta IPR di bawah kategori Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) bagi daerah Segamat.
Selepas menjalani kursus pada bulan September, dia dibekalkan dengan mesin layan diri (vending machine) serta tapak untuk mesin berkenaan di UiTM Segamat pada bulan Oktober.
Apa yang menggembirakan, mesin berkenaan diberi jaminan selama dua tahun dan sebarang kerosakan sepanjang tempoh berkenaan akan ditanggung oleh pembekalnya.
Haida menyediakan menu pada waktu siang termasuklah nasi lemak, sandwich dan kuih muih manakala pada waktu malam, antara menu yang disediakan adalah spaghetti, “baby John” (roti John kecil) dan oblong daging selain makanan Korea seperti bibimbap dan ramen.
“Kita sediakan menu yang mendapat sambutan pembeli terutamanya para pelajar pada harga menu Rahmah iaitu di bawah RM5 dan separuh dari menu kita berharga di bawah RM2,” katanya.
IPR yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Februari tahun lepas bertujuan membantu golongan miskin tegar, miskin dan B40 menjana pendapatan mampan.
Inisiatif ini melibatkan kerjasama antara kerajaan, rakyat dan rakan strategik selaras dengan pendekatan keseluruhan negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) serta prinsip Ihsan di bawah Kerangka Dasar Madani.