Tak serik dikecam, The Gadys tampil dengan lagu raya

Tak serik dikecam, The Gadys tampil dengan lagu raya

 

Walaupun dikecam hebat oleh warganet ekoran nyanyian sumbang dalam sebuah program televisyen, namun semangat The Gadys tidak sesekali luntur.

Buktinya, kini mereka tampil dengan lagu raya baharu berjudul Cuti Raya bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal diraikan tidak lama lagi.

The Gadys dianggotai Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Chan mahu lagu Cuti Raya ini menjadi antara lagu raya paling diminati tahun ini, seterusnya kekal evergreen.

“Lagu Cuti Raya adalah sebuah lagu yang boleh dikatakan sangat dekat dengan kehidupan harian semua orang yang bekerja. Ia adalah gambaran emosi dalam lirik lagu yang straightforward untuk menyatakan hasrat dan harapan untuk cuti beraya bersama-sama orang yang tersayang,” ujar Aznie.

Berkongsi lanjut, Aznie berkata, proses rakaman lagu Cuti Raya itu juga sangat menyeronokkan.

“Proses rakaman lagu raya adalah antara proses yang sangat menyeronokkan, sebabnya ini kan lagu raya, pelbagai emosi yang boleh kita letak dalam setiap melodi dan nyanyian yang kita nyanyikan. Pada mulanya banyak juga lirik yang dicuba dan diubahsuai agar ia menepati situasi dan dekat di hati pendengar,” katanya.

Bagi Ayunie, bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam penghasilan lagu Cuti Raya ini adalah satu lagi pengalaman berharga buat mereka.

“Pengalaman yang kami lalui sangat seronok dan semuanya dipermudah.

“Setiap pihak memberi kerjasama yang baik. Semasa rakaman kami bersama-sama berkongsi idea untuk menjayakan lagu Cuti Raya ini. Kami sangat selesa bekerja dengan semua pihak semasa rakaman Cuti Raya ini dijalankan,” ujar Ayunie.

Menurutnya lagi, mereka berharap lagu Cuti Raya ini dapat diterima baik oleh semua peminat dan pendengar.

“Kami berharap lagu baharu ini akan sentiasa mendapat tempat di kalangan pendengar setiap kali musim perayaan tiba. Moga lagu ini boleh memberi keceriaan sepanjang Syawal ini,” ujar Ayunie lagi.

Berkongsi tentang penggambaran video muzik, Thamiera pula berkata, penggambaran video muzik lagu ini dijayakan dengan baik hasil daripada kerjasama semua pihak.

“Alhamdulillah, penggambaran video muzik berjalan lancar. Walaupun perlu ke lokasi seawal jam 6.30 pagi, saya menikmati saat-saat itu dengan perasaan teruja. Kami sama-sama menyelesaikan bahagian masing-masing mengikut masa yang ditetapkan agar tugasan menjadi mudah dan tidak menjejaskan pihak lain,” ujar Thamiera.

Cuti Raya adalah ciptaan Ja’a, Mage dan Glowrush dan menampilkan Adib Hussin dan Glowrush selaku penerbit.

Ia kini boleh didengari di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. Jom layan video muzik Cuti Raya daripada The Gadys.