Tak serik-serik jual air ketum, lelaki ditahan buat kali keempat

Tak serik-serik jual air ketum, lelaki ditahan buat kali keempat

 

Seorang lelaki seolah-olah tidak serik menjalankan kegiatan menjual air ketum, diberkas sekali lagi dalam operasi di sebuah rumah di Taman Medan di sini, pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berusia lingkungan 30 an itu memiliki 10 rekod kesalahan jenayah membabitkan tiga kes dadah dan tujuh jenayah.

Beliau berkata lelaki berkenaan pernah ditahan tiga kali dalam tempoh 2017 hingga 2019 sebelum sekali lagi melakukan aktiviti memproses dan mengedar air ketum sekitar Petaling Jaya sejak dua hingga tiga bulan lepas.

“Lelaki tersebut ditahan di dalam rumah miliknya bersama empat rakan lelaki lain ketika sedang memproses air ketum pada 6 petang.

“Dalam serbuan itu, kita merampas 92 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum yang setiap satunya berisi 1,500 mililiter, 10 bungkusan plastik mengandungi daun ketum seberat 50 kilogram dan beberapa peralatan memproses air daun ketum dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM3, 340,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, setiap satu botol air ketum tersebut dijual RM15 dan daun ketum tersebut diperoleh dari sebuah negeri di utara tanah air.

Beliau berkata kesemua lelaki ditahan berusia 23 hingga 37 tahun itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kini direman empat hari sehingga 18 Feb ini untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.