Tak sesuai gubal RUU tangguh pilihanraya ketika Covid – Takiyuddin

Tak sesuai gubal RUU tangguh pilihanraya ketika Covid – Takiyuddin

Langkah menggubal rang undang-undang bagi menangguhkan pilihan raya ketika Covid-19 tidak sesuai dan bercanggah Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan juga memerlukan sokongan 2/3 ahli Parlimen.

“Pihak kerajaan boleh mencadangkan penangguhan suatu pilihan raya sekiranya pandemik ini difikirkan boleh diisytiharkan darurat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) adakah kerajaan bercadang meminda Perlembagaan atau mewujudkan RUU bagi membolehkan pilihan raya ditangguhkan ketika penularan pandemik.

Sabtu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, pilihan raya umum tidak sesuai diadakan sekarang ketika negara masih bergelut dengan penularan Covid-19.

Katanya, Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) perlu dipinda untuk memberi kuasa kepada Kementerian Kesihatan menghalang pilihan raya diadakan bagi tujuan kesihatan awam.

Beliau berharap cadangan meminda Akta 342 dapat disegerakan.

Sumber: Free Malaysia Today