“Takkan hasil kerja saya selama 4 dekad dalam industri muzik dihina dan mendapat kecaman seperti itu”, Amy berkongsi kisah sedih dihina peminat Search
Drama berantakan melibatkan kumpulan rock tersohor tanah air, Search terus menjadi bualan peminat seni tanah air.
Biarpun ahli kumpulan rock yang terbelah dua itu telah pun membawa haluan masing-masing, namun peminat tetap tidak dapat menerima pengakhiran kisah kumpulan kesayangan mereka itu.
Memetik perkongsian Harian Metro baru-baru ini, jelas penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search, 64, sendiri turut tidak dapat menahan air mata mengenangkan nasib yang menimpa kumpulan yang dianggap seperti nyawanya sendiri itu.
Malah, dia turut mendedahkan pernah mengalami ‘anxiety’ atau keresahan akibat dikecam teruk netizen ketika konflik bersama kumpulan Search, sebelum ini.
Amy atau nama sebenar, Suhaimi Abdul Rahman, 64, masalah ‘anxiety’ yang dialami menjadi lebih teruk ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
“Perjalanan kerjaya muzik saya bermula awal tahun 1980-an dan ketika itu tidak banyak gosip seperti hari ini. Sekarang sebagai artis popular, jika kita tersilap bagi kenyataan ia akan mengundang kecaman di media sosial.
“Bila baca komen yang sangat negatif di media sosial, saya berasa lebih terluka. Takkan hasil kerja saya selama empat dekad dalam industri muzik dihina dan mendapat kecaman seperti itu ,” katanya kepada Harian Metro.
Amy ditemui pada majlis pelancaran buku Senandika : Bercakap Seorang Diri, karya penulis, Maliah Surip, di sini.
Hadir sama, penyanyi, Misha Omar.
Amy berkata, dia mula mengalami masalah bila berasakan tiada siapa memahami dirinya ketika dalam fasa naik dan turun dalam industri muzik sebelum ini.
“Saya juga tidak berkongsi dengan isteri masalah itu. Bila tidur malam saya memalingkan wajah dari isteri kerana tidak mahu dia melihat saya menangis,” katanya.
Bagaimanapun, Amy berkata, dia tidak pernah bertemu doktor untuk merawat masalah terbabit.
“Saya sendiri tidak tahu ada ‘anxiety’ kerana tidak pernah didiagnosis oleh doktor sebelum ini. Namun, saya tetap melawan perasaan resah dan bimbang itu kerana tidak mahu menjejaskan kesihatan.
“Ketika dalam perjalanan ke majlis pelancaran ini pun saya berasa seperti mahu menangis,” katanya.
Ditanya bagaimana dia mengatasi masalah itu, Amy berkata, dia memilih untuk tidak membaca komen negatif daripada netizen di media sosial.
“Saya mengelak dari membaca komen negatif di media sosial sekarang untuk menjaga kesihatan mental,” katanya.