Taknak menjanda lama-lama, Puteri Sarah sedang cari suami baharu?

Taknak menjanda lama-lama, Puteri Sarah sedang cari suami baharu?

 

Pelakon Puteri Sarah memberi bayangan seolah-olah enggan memegang gelaran janda untuk jangka masa lama selepas sah bercerai talak satu dengan bekas suaminya iaitu pengarah, Syamsul Yusof pada 14 Jun lalu.

Menerusi sebuah video yang tular dalam TikTok, Sarah atau nama lengkapnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, meminta orang ramai untuk mendoakannya segera dipertemukan jodoh pada masa akan datang.

Permintaan itu dibuat sendiri oleh Sarah ketika disoal salah seorang pengikutnya ketika melakukan sesi siaran langsung (live) dalam TikTok miliknya baru-baru ini.

“Tak nak cari suami baharu ke?” soal seorang pengikutnya.

Ketika menjawab soalan yang ditanya pengikutnya itu, Sarah turut memetik dua lagi nama selebriti terkenal iaitu Nad Zainal dan Mizz Nina apabila dipertemukan jodoh buat kali kedua, selepas hanya beberapa bulan berpisah dengan pasangan masing-masing.

“Semoga saya jumpa jodoh saya cepat macam Nad Zainal, macam Mizz Nina. Apa-apa pun doakan saya,” katanya.

Dalam video itu juga, ibu tunggal kepada dua orang cahaya mata tidak meletakkan harapan besar, cuma berharap bakal suaminya itu nanti dapat menerima diri serta dua orang anaknya.

“Doakan saya jumpa jodoh yang baik, boleh sayang saya dan anak-anak,” katanya.

Pada masa sama, Sarah juga menegaskan bahawa dia memegang pada prinsip ‘no turning back’ (tidak akan berpatah balik) terutama sekali untuk kembali kepada kehidupannya yang dahulu.

“Motto hidup saya ‘no turning back’ terutama tidak akan kembali semula dengan kehidupan dahulu,” jelasnya.

Ketika disoal sama ada Sarah masih terbuka hati untuk menerima jodohnya dalam kalangan orang-orang industri (hiburan), pelakon drama Andai Itu Takdirnya itu enggan menjanjikan apa-apa kerana tidak tahu perancangan yang telah diatur Tuhan untuk dirinya pada masa akan datang.

“Saya tidak mahu cakap ‘tidak’. Sebab kalau saya cakap tidak (menolak jodoh orang dalam industri), nanti tiba-tiba, manalah tahu (jodoh dengan orang industri),” katanya.

Selepas mengharungi episod konflik rumah tangga yang panjang, kemelut antara Sarah dan Syamsul akhirnya berniktah selepas pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.

Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, melafazkan cerai talak satu pada pukul 12.25 tengahari di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas, selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Hakim Syarie Akmallluddin kemudian mensabitkan berlaku perceraian dan memerintahkan Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, menjalani tempoh edah selama tiga bulan dan mendaftarkan perceraian mereka.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4,.

Pada Januari lalu, Syamsul mengesahkan telah bernikah dengan Ira Kazar berwalikan bapa mentuanya iaitu pelakon, Kazar di selatan Thailand.