Taktik bersama anak gagal halang duda ditahan berkhalwat dengan janda anak 5

Taktik bersama anak gagal halang duda ditahan berkhalwat dengan janda anak 5

Seorang duda anak satu dicekup berkhalwat dengan janda anak lima selepas didapati bersekedudukan di sebuah bilik motel di sini dalam operasi Pejabat Agama Daerah Kulim sempena Tahun Baharu 2024, awal pagi Isnin.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, lebih mengejutkan, lelaki berusia 40 tahun itu turut membawa bersama anak lelaki berusia enam tahun.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu pada jam 1.15 pagi, lelaki itu membuka pintu bilik berkenaan dan membenarkan pihaknya menjalankan pemeriksaan.

“Ketika itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun disyaki anak lelaki berkenaan turut berada di dalam bilik motel berkenaan.

“Lelaki yang juga pekerja kedai makan itu memberi alasan hanya datang menghantar makanan kepada wanita berusia 32 tahun itu.

“Bagaimanapun, soal siasat mendapati wanita itu tidak bekerja dan sudah seminggu tinggal di bilik motel berkenaan yang ditanggung lelaki berkenaan,” katanya, seperti dilapor Sinar Harian.

Anwar Sharifudin berkata, pasangan itu mendakwa berkenalan di kedai makan tempat lelaki itu bekerja.

“Pemeriksaan juga mendapati, mereka tidak memiliki sebarang dokumen mengesahkan hubungan mahram atau suami isteri,” katanya.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan di Taman Melawis di sini, Anwar Sharifudin berkata, pihaknya menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam dengan pasangannya yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang pada jam 2.06 pagi.

Anwar Sharifudin berkata, lelaki yang bertugas di Kuala Lumpur mendakwa berkenalan dengan pasangannya yang berasal dari daerah ini melalui media sosial sejak lebih sebulan lalu.

“Mereka memberi alasan hanya datang berehat di hotel itu selepas menyaksikan pertunjukan bunga api di Pulau Pinang,” dakwanya.

Tambah beliau, kedua-dua pasangan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.