Taktik nak motor baru? Rider Foodpanda mengamuk tendang motor sampai pecah

Taktik nak motor baru? Rider Foodpanda mengamuk tendang motor sampai pecah

 

TULAR satu video pada Sabtu memaparkan perbuatan agresif seorang penghantar makanan p-hailing yang bertindak merosakkan sebuah motosikal di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Puchong, Selangor.

Menerusi klip berdurasi 8 saat berkenaan, lelaki terbabit yang memakai uniform t-shirt sebuah syarikat p-hailing dan memakai topi keledar itu menendang berulang kali sebuah motosikal yang sudah dalam keadaan terjatuh terjatuh.

Tindakan itu juga menyebabkan beberapa bahagian motosikal berkenaan dilihat turut mengalami kerosakan dan pecah.

Turut kelihatan bekas beg makanan di atas lantai berhampiran dengan motosikal terbabit.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada motosikal berkenaan adalah milik lelaki terbabit ataupun individu lain.

Motif kejadian juga tidak dimaklumkan dalam hantaran video yang tular itu.

Beberapa individu lain didapati turut berada berdekatan lokasi dan melihat insiden berkenaan.

 

Susulan daripada itu, terdapat beberapa teori yang ditimbulkan warganet mengenai punca menyebabkan lelaki berkenaan melakukan perbuatan tersebut.

Menurut Aj Jaafar, lelaki tersebut berkemungkinan bukan pemilik kepada motosikal yang dirosakkan itu.

“Mungkin bukan motosikal milik rider itu. Mungkin motosikal itu diletakkan di tempat spot rider p-hailing ini biasa parking untuk hantar barang atau makanan.

“Kadang-kadang ada penunggang yang tak faham letak ikut suka sampai rider ni tak boleh nak parkir,” tulis Aj Jaafar.

“Bukan motor dia. Dia geram dekat tuan moto tu kot,” tulis Zuraimi Elies.

“Dia fikir baguslah tu buat macam tu. Ikutkan panas baran. Dah susah bertambah susahlah nanti,” ujar Emma Strowberry Vanila.

Dalam pada itu, terdapat juga netizen yang secara berseloroh menyatakan bahawa tindakan lelaki berkenaan adalah sebahagian daripada taktik untuk mendapat simpati orang ramai supaya memberikannya motosikal baharu.

“Nak motor baru la tu,” tulis Wan Nazmi Yusoff.

“Cara-cara senang untuk minta orang belikan dia motor baharu,” ujar Hero Audrey.

Sebelum ini, seorang rider Foodpanda tular apabila dirakam berjalan kaki selepas motosikalnya disita Jabatan Pengangkutan Jalan atas kesalahan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.

Dia kemudian menerima sebuah motosikal baharu pemberian pempengaruh, Aisar Khaled yang kononnya mahu mengambil kesempatan membuat ‘content’ sebagai strategi pemasaran.

Tindakan Aisar mengundang kecaman kerana dianggap seolah-olah menormalisasikan jenayah jalan raya kerana memberi ‘reward’ kepada pesalah jalan raya.