Takziah! Penerima hati pertama negara meninggal dunia

Takziah! Penerima hati pertama negara meninggal dunia

Penerima hati pertama di Malaysia, Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini menghembuskan nafas terakhirnya akibat komplikasi hati, awal pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan penderma hati, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Mohd Afiq Ikmal, 23, yang dirawat di Hospital Selayang, Selangor, sejak 13 Februari lalu, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 5 pagi tadi.

“Berita kematian adik Afiq dimaklumkan kepada saya oleh bapa Allahyarham, pagi tadi.

Kini jenazah sedang dimandi dan dikafankan di Hospital Selayang .Jenazah akan dibawa pulang ke kampung bapa Allahyarham di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah,” katanya.

Bagaimanapun, usaha BH menghubungi waris Mohd Afiq Ikmal masih belum berjaya.

Baru-baru ini, BH melaporkan, Mohd Afiq Ikmal dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri akibat komplikasi hati, selepas 23 tahun menjalani pembedahan pemindahan hati.

Pemuda berkenaan menjalani pembedahan itu ketika berusia 14 bulan, selepas Wan Mohd Hafizam menyatakan kesediaan mendermakan sebahagian hatinya.

Paparan kisah Mohd Afiq Ikmal itu mendorong Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu, walaupun antara mereka tiada pertalian saudara dengan keputusan itu dibuat atas dasar kemanusiaan. – BH