TamatDarurat : Peluang mengadap Agong mungkin sukar tetapi tidak mustahil, jelas Mukhriz
Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat masih menunggu tarikh untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah.
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata, peluang untuk menghadap Agong adalah sangat penting kerana jawatankuasa itu mahu menceritakan keluhan rakyat.
“Saya fikir Istana pun tahu sebenarnya dan kita nak nyatakan peri pentingnya Parlimen dapat bersidang semula seperti disarankan Agong,” kata beliau ketika ditemui di hadapan bangunan Parlimen.
Mukhriz mengakui lega apabila Agong mahu menemui wakil jawatankuasa tersebut.
“Kita menanti saja. Bila kita sudah terima berita istana sedang menguruskan itu pun dah melegakan hati kita,” kata beliau.
Pada 27 April lalu, Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat bercadang membawa 12 pemimpin pembangkang menghadap Agong untuk memperincikan desakan mereka berkaitan darurat.
Bagaimanapun, menurut pengerusinya Khalid Samad, nama 12 pemimpin dalam rombongan tersebut belum diputuskan.
Pada 22 April, Khalid menyatakan Agong berkenan membenarkan jawatankuasa terbabit menghadap untuk menyerahkan memorandum berkaitan darurat.
Pada 12 Mac, jawatankuasa itu yang dianggotai beberapa ahli politik dan aktivis melancarkan kempen mengumpul tandatangan, termasuk secara dalam talian, bagi memohon darurat ditamatkan. – FMT