Tanah keluarga Amar Baharin dipindah milik Pejabat Tanah tanpa pengetahuan, ini respon MB Selangor

Tanah keluarga Amar Baharin dipindah milik Pejabat Tanah tanpa pengetahuan, ini respon MB Selangor

 

Pelakon Ammar Baharin meminta penjelasan dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor berkenaan dengan kes tanah milik keluarganya di Semenyih yang didapati telah dikeluarkan geran kepada individu lain secara tidak sah.

Melalui perkongsian di akaun X dan Instagram, Ammar mendedahkan bahawa kejadian ini disedari oleh keluarganya semasa arwah ayahnya masih hidup.

Mereka terkejut apabila melawat kawasan tanah tersebut untuk diusahakan, namun mendapati sebuah rumah telah dibina di situ.

“Apa sebab sebidang tanah boleh mempunyai dua geran yang berbeza?

Mak aku pergi berjumpa tuan tanah tersebut untuk bertanya. Ringkas ceritanya, tuan tanah mengatakan tanah itu miliknya,

dia tunjuk geran (geran tampal), sementara mak aku pula mempamerkan geran asal yang telah dipegang berpuluh tahun. Malah, kami juga telah membayar cukai tanah,” katanya.

Ammar menyatakan bahawa ibu dan arwah ayahnya kemudian mengunjungi PTG Selangor untuk mendapatkan penjelasan berhubung situasi tersebut.

“Mereka (PTG) faham dan cuba menyelesaikan masalah ini. Mereka berjanji untuk menggantikan tanah mak aku dengan tanah yang lain, tetapi hingga kini, masih tiada jawapan yang diberikan.

“Apabila ditanya tentang perkembangan terkini, kakitangan PTG memberitahu bahawa Selangor tidak mempunyai tanah kosong (untuk penggantian),” katanya dalam perkongsian tersebut.

Pelakon itu mengemukakan beberapa persoalan kepada PTG berkaitan kes tanah ini dalam perkongsian tersebut.

“Siapakah yang meluluskan geran kedua untuk individu lain, sedangkan tanah milik keluarga aku belum dijual atau ditukar nama kepada sesiapa?

“Bayaran penjualan tanah itu diberikan kepada siapa? Cukai tanah yang dibayar setiap tahun oleh mak aku bagaimana pula?

“Adakah pihak yang lain juga membayar cukai tanah yang sama? Saya berharap PTGS dapat memberikan jawapan kepada setiap persoalan di atas,” katanya.

Beliau juga mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak bagi menyelesaikan masalah ini yang meresahkan rakyat.

Sementara itu, Pengarah PTG Selangor, Datuk Dr Yusri Zakariah, berkata bahawa pihaknya mengambil maklum dakwaan tersebut dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini ketika dihubungi BH menurut laporan Berita Harian.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, juga memberikan reaksi terhadap perkongsian pelakon tersebut menerusi Instagram dengan meminta beliau untuk mengemukakan butiran lengkap berkaitan dengan perkara ini.

“DM (Mesej terus) detail (perincian) nombor geran dan lot, nanti saya akan menyiasat,” katanya.