Tangguh berbelanja, harga barang stabil awal tahun depan

Tangguh berbelanja, harga barang stabil awal tahun depan

Polemik isu kenaikan harga barang seakan tiba ke penghujung cerita. Selepas menteri maaing-masing enggan mengambil tanggungjawab, akhirnya tugas tersebut terpaksa diambil alih PM, Ismail Sabri.

Menurut laporan Astro Awani, harga barangan khususnya barangan keperluan harian seperti makanan yang dilaporkan meningkat mendadak sebelum ini dijangka akan stabil sepenuhnya awal tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penurunan harga itu antara lain disebabkan negara luar mula membuka sektor ekonomi masing-masing.

Menurut Ismail Sabri, walaupun rakyat Malaysia ada menternak ayam dan menanam sayuran tetapi makanan ayam serta baja dan racun masih diimport dari luar negara.

“Oleh kerana tidak ada pengeluaran jadi bila barang tu sikit permintaannya banyak tentu sahaja akan naik harga jadi kita percaya keadaan ini akan beransur pulih apabila seluruh dunia pun dah membuka ekonomi masing masing jadi pengeluaran akan kembali normal dan insyaAllah saya percaya tahun depan awal tahun depan harga akan semakin dapat diturunkan,” katanya.

Tambahnya bagi membantu golongan yang terkesan, kerajaan telah menganjurkan program jualan murah yang menawarkan harga barang yang rendah selain memberi peruntukan dan insentif.
 
Pelbagai program dan projek akan terus dilaksanakan kerajaan dalam usaha menjaga kepentingan serta kebajikan rakyat bagi mengurangkan beban mereka.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada Program Khatan Perdana Parlimen Bera di Dewan Majlis Daerah Bera Padang Luas Bera.

Kira-kira 350 kanak-kanak berumur antara lima dan 12 tahun dikhatankan secara percuma dengan setiap seorang mereka turut diberikan topi keledar sebagai cenderahati dalam program anjuran Pemuda UMNO Bera.