Tangguh bertemu anak dan cucu, Najib anggap bantu BN menang lebih utama

Tangguh bertemu anak dan cucu, Najib anggap bantu BN menang lebih utama

Najib Razak memfailkan permohonan untuk menangguhkan perjalanannya ke Singapura bagi mengurus persediaan Umno menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan, lapor portal akhbar FMT.

Bekas Perdana Menteri itu berkata permohonan dibuat kerana Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, akan berada di Jerman untuk menerima rawatan sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan bahawa Umno sewaktu PRN Melaka bertindak secara teratur dan dengan sewajarnya sementara ketiadaan Zahid,” kata Najib dalam afidavit yang telah dipinda seperti dilihat oleh FMT.

PRN Melaka akan diadakan pada Nov 20, pengundian awal pada 16 Nov dan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 8 nov.

Najib berkata beliau akan berlepas ke Singapura pada 21 Nov dan pulang pada 5 Dis.

Permohonannya dijadualkan akan didengar di hadapan tiga hakim Mahkamah Tinggi pada Selasa kerana beliau menghadapi tuduhan berasingan berkaitan kes 1MDB.

Najib berkata, beliau perlu mendapatkan pasport untuk memperbaharuinya dan mendapatkan pelepasan daripada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk melakukan perjalanan.

Pada Isnin, Mahkamah Rayuan membenarkan pelepasan sementara pasportnya untuk memudahkan beliau melawat anak perempuan, Noorjaya Najwa yang akan melahirkan anak kedua tidak lama lagi di sana.

Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu dan menyerahkan urusan terbabit kepada mahkamah.

Najib hadir ke Mahkamah Rayuan untuk mengembalikan dokumen perjalanannya kerana rayuannya terhadap tuduhan dan hukuman dalam kes SRC International telah didengar di mahkamah enam bulan lalu.

Mahkamah Rayuan kemudiannya memerintahkan supaya pasportnya diserahkan pada 20 Okt bagi membolehkan Najib memperbaharuinya.

Mahkamah itu juga membenarkannya berlepas pada 3 Nov dan mengarahkan beliau menyerahkan pasport kembali pada 22 Nov.

Mengikut perancangan awal, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dijangka ke Singapura pada 3 November selepas mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2022 sehari sebelum itu.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi melepaskan sementara pasport isteri Najib, Rosmah Mansor yang menghadapi tuduhan rasuah berkaitan dengan projek panel solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak.

Rosmah berkata, beliau perlu bersama anak perempuan mereka Nooryana yang mengalami komplikasi semasa kelahiran pertama.