Taufik Hidayat cetus ‘perang’, dakwa Lee Chong Wei tak layak dapat pengiktirafan Dewan Kemasyhuran

Taufik Hidayat cetus ‘perang’, dakwa Lee Chong Wei tak layak dapat pengiktirafan Dewan Kemasyhuran

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bingung susulan ‘serangan’ daripada bekas pemain badminton Indonesia, Taufik Hidayat yang mempertikai kewajarannya disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Memetik Berita Harian Online, Chong Wei disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran BWF bersama legenda badminton China, Lin Dan bulan lalu dan perkembangan itu tampaknya tidak disenangi Taufiq yang juga rakan baiknya.

Chong Wei berkata penyenaraian itu adalah keputusan BWF dan Taufik perlu menghubungi BWF sekiranya mahu mendapatkan penjelasan.

“Saya tidak minta BWF untuk menyenaraikan saya. Saya juga tidak tahu mengenai penyenaraian ini sehinggalah saya mendapat surat daripada BWF.

“Saya tidak tahu apa kriteria yang diletakkan BWF untuk disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran.

“Saya tidak tahu jika dia tidak gembira ataupun marah kerana tidak disenaraikan, dia tidak bercakap mengenainya dengan saya.

“Ini sesuatu yang saya ataupun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) boleh tanyakan kepada BWF. Dia (Taufiq) boleh menghantar emel kepada BWF untuk bertanya mengapa dia tidak disenaraikan.

“Saya tidak faham mengapa dia menyerang saya, ini bukan tanggungjawab saya,” kata Chong Wei.

Terdahulu, Taufik mempersoalkan kelayakan Chong Wei yang disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran BWF.

Taufik mengakui bahawa Lin Dan lebih layak untuk mendapat pengiktirafan itu dan mendakwa Chong Wei disenaraikan kerana lokasi ibu pejabat BWF terletak di Malaysia.

Taufik yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2004 dan Kejuaraan Dunia 2005 turut membalas menerusi akaun Twitternya selepas mempersoalkan jika Chong Wei memenangi Sukan SEA, Kejuaraan Dunia atau Sukan Olimpik.