Tauke judi pancing kaki judi dengan gambar wanita separuh bogel

Tauke judi pancing kaki judi dengan gambar wanita separuh bogel

 

Judi dalam talian bukan sahaja menawarkan hadiah wang tunai lumayan malah turut memaparkan wanita separuh bogel bagi menarik kaki judi di platform media sosial.

Taktik yang bukan benda baharu itu dikesan secara meluas di media sosial seolah-olah tiada sebarang kekangan dari mana-mana pihak berkuasa.

Tinjauan mendapati aplikasi sembang sosial seperti WeChat dan MiChat yang menjadi kegilaan golongan muda turut menjadi lubuk bagi sindiket judi dalam talian mempromosikan kegiatan mereka dengan menggunakan gambar profil wanita cantik dan seksi.

Berbanding sebelum ini, sindiket judi menggunakan komputer diubahsuai namun kekerapan serbuan dan rampasan pihak berkuasa menyebabkan mereka mengubah taktik dengan menggunakan pelayan atau server di negara asing bagi hos platform judi haram ini.

Selain permainan ‘jackpot’ dipaparkan di tablet yang dimuatnaik laman Facebook itu, laman yang mempromosikan kegiatan itu turut pernah menawarkan judi sempena Piala Dunia FIFA baru-baru ini.

Difahamkan, sindiket ini menggunakan khidmat perkomputeran profesional bagi mewujudkan gerbang bayaran khusus kepada pelanggan.

Bagi mengakses dan mendaftar pada sistem pembayaran sindiket ini, ia turut menggunakan kata laluan guna sekali atau OTP sebagaimana digunakan khidmat perbankan.

Ini sekali gus turut mendedahkan tahi judi kepada isu keselamatan data peribadi memandangkan mereka perlu memasukkan nama sebenar, nombor akaun bank serta nombor telefon bimbit.