Tawar RM500 per sesi & perlu berbogel, studio filem lucah pertama di Malaysia giat mencari ‘talent’ di IG
Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila satu portal tempatan mendedahkan seorang wanita telah menerima mesej tawaran untuk menjadi pelakon dalam sebuah filem lucah dengan bayaran yang tak seberapa.
Menurut Says, perkara tersebut diketahui oleh mereka apabila individu terbabit berkongsi pengalamannya menerima mesej peribadi di Instagram daripada seorang individu yang tidak dikenali.
Individu terbabit mendakwa dirinya mewakili sebuah studio filem lucah pertama dan yang tunggal di Malaysia.
Platform media sosial Instagram digunakan oleh individu berkenaan untuk mencari pelakon-pelakon berpotensi bagi membintangi filem dewasa pertama mereka.
Mesej-mesej tersebut adalah cubaan untuk merekrut mereka sebagai ‘talent’ dengan menjanjikan bayaran sebanyak RM500 bagi setiap penggambaran.
Menurut individu yang mendakwa dirinya sebagai producer studio, penggambaran dijangka berlangsung antara tiga hingga lima jam, tanpa sebarang hubungan seks sebenar di antara pelakon-pelakon.
Walau bagaimanapun, pelakon-pelakon terbabit diwajibkan untuk setiap bertelanjang dalam memainkan watak tersebut.
Difahamkan, filem itu akan diedarkan di pelbagai platform yang menjual kandungan video dewasa terutamanya menyasarkan penonton daripada luar negara selain akan dimuat naik di dalam laman sesawang milik studio tersebut.
Salah satu platform di mana mereka berniat untuk menghoskan kandungan lucah itu adalah di OnlyFans, iaitu laman web yang menawarkan perkhidmatan langganan kandungan internet yang popular digunakan oleh pencipta kandungan dewasa tempatan dan antarabangsa.
“Kami masih dalam proses pra-produksi dan belum menjalankan penggambaran pertama kami. Kami mungkin menjadi studio filem lucah yang pertama dan tunggal di Malaysia setakat ini,” kata individu itu.
Meskipun beroperasi di Malaysia, studio tersebut bercadang untuk merahsiakan pelakon-pelakonnya dan berjanji untuk tidak menyebut nama negara dalam filemnya.
Para pelakon juga diberikan pilihan untuk menggunakan nama gelaran palsu untuk melindungi privasi mereka.
Studio yang menghasilkan filem lucah itu juga dikatakan akan beroperasi di Kuala Lumpur.
Artikel pendedahan tersebut yang dimuat naik Says di laman X (Twitter) turut mendapat perhatian orang ramai.
Rata-rata pengguna media sosial berpendapat bahawa bayaran sebanyak RM500 bagi setiap penggambaran itu adalah amat tidak berbaloi dengan maruah yang harus tergadai.
Tidak hanya itu, bayaran terbabit juga dianggap amat rendah jika dibandingkan dengan video berkenaan yang akan berada di dalam internet buat selama-lamanya.
Untuk info, filem atau video lucah adalah haram di Malaysia. Pengedaran, penciptaan, dan penjualan kandungan dewasa itu merupakan satu kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah.
Menurut Sinar Daily, beberapa undang-undang yang boleh digunakan berkaitan dengan bahan lucah adalah seperti:
- Seksyen 292 Kanun Keseksaan (Memiliki bahan lucah)
- Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998
- Seksyen 5 hingga 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017
Sekiranya anda menjadi mangsa filem/video lucah yang tersebar, anda boleh mendapatkan bantuan untuk mengeluarkan kandungan tersebut dari internet dengan menggunakan StopNCII.org. secara percuma.