Tawaran berlakon kurang, Ali Puteh rancak berniaga pakaian kanak-kanak & minyak wangi di TikTok

Tawaran berlakon kurang, Ali Puteh rancak berniaga pakaian kanak-kanak & minyak wangi di TikTok

Jika mengikuti media sosial pelawak sensasi, Ali Puteh pasti mengetahui dia kini sedang aktif menjual pakaian kanak-kanak serta minyak wangi di platform TikTok untuk menambah pendapatan.

Syukur, tak sangka dapat sambutan

Pemilik nama Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan bagaimanapun tidak menyangka perniagaannya mendapat sambutan menggalakkan dan menerima maklum balas positif daripada pelanggan.

Pun begitu, pelawak berusia 34 tahun itu meluahkan kesyukuran atas limpahan rezeki yang dikurniakan kepada dirinya.

“Alhamdulillah, sambutan diterima sangat memberangsangkan sejak saya mula berniaga pada bulan puasa. Dan, alhamdulillah, tiada sebarang masalah setakat ini,”luahnya.

Jual di media sosial sebab ada anak kecil

Jelas Ali, dia terpaksa menggunakan platform media sosial untuk menjalankan aktiviti perniagaan memandangkan ia adalah mudah selain mempunyai anak yang masih kecil.

“Saya ambil pendekatan membuat jualan di media sosial sebab saya ada anak kecil dan lebih mudah menggunakan laman sosial untuk berniaga.
“Macam-macam saya jual sebenarnya. Cuma buat masa ini saya memfokuskan pakaian kanak-kanak dan minyak wangi,”katanya.

Kurang dapat tawaran berlakon

Dalam pada itu, Ali memberitahu dia masih menerima tawaran berlakon namun kurang jika hendak dibandingkan dengan dulu.

Akan tetapi, adik kepada Allahyarham Abam Bocey tetap bersyukur dengan rezekinya untuk berniaga bagi menampung diri dan keluarga.

Sementara itu, Ali berkongsi khabar baik bahawa dia kini sedang mencari lokasi bersesuaian untuk membuka kedai sendiri atas permintaan orang ramai.

“Tawaran berlakon ada cuma kurang. Tapi rezeki berniaga Alhamdulillah dapat sambutan. InsyaAllah akan buka kedai atas permintaan pelanggan yang mahu membeli pakaian dan minyak wangi secara terus,”ujarnya.