Tayang ‘anu’ depan gadis punca jurulatih kecergasan dihadap ke mahkamah

Tayang ‘anu’ depan gadis punca jurulatih kecergasan dihadap ke mahkamah

Seorang jurulatih kecergasan sebuah gimnasium dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan dan menunjukkan kemaluan kepada seorang gadis, Selasa lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Khaw Chee Young, 29, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang masih bujang didakwa hendak mengaibkan kehormatan seorang gadis dengan cara menunjukkan kemaluan kepada gadis tersebut.

Memetik Kosmo!Online, perbuatan itu dilakukan di aras dua sebuah gimnasium di Lebuh Raya Thean Teik, Pulau Pinang, kira-kira 9.40 pagi pada 7 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa di lokasi dan masa yang sama telah menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan gadis yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan. Sebutan dan penyerahan dokumen ditetapkan pada 17 April ini.